Sunat Makmum Baca al-Fatihah dan Wajib Habiskan Bacaan Selepas Imam Baca
Dari Group Usrah Solat : Q&A Ibadah (MSO-D7)
Soalan:
Assalamualaikum ustaz, ptnyaan tentang apakah hukumnya makmum sibuk baca Surah Al-Fatihah di belakang imam?
-contoh situasi: ketika imam membaca surah laim sesudah surah Al-Fatihah ( ketika sembahyang berjemaah) makmum pula sibuk membaca surah Al-Fatihah, ini dapat kita perhatikan ketika solat berjemaah jahriyyah (subuh, maghrib dan isya).
Jawapan kami;
Sunat makmum membaca al-Fatihah selepas bacaan al-Fatihah imamnya. Hal ini adalah sekiranya makmum mempunyai berat sangkaan bahawa dia sempat untuk membaca al-Fatihah sebelum imamnya rukuk. Selepas itu, barulah makmum mendengar bacaan surah imamnya pula.
Namun, sekiranya diketahui atau berat sangkaan makmum bahawa dia tidak akan sempat membaca al-Fatihah sebelum imamnya rukuk, maka ketika itu sunat bagi makmum tersebut membaca al-Fatihah beserta dengan imam tanpa perlu menunggu imamnya selesai membaca al-Fatihah (Fath al-'Allam, al-Syams al-Munirah).
Justeru, sunat bagi makmum mendengar bacaan imamnya (Mughni al-Muhtaj, I'anah al-Tolibin). Firman Allah Taala;
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
"Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat."(Surah al-A'raf 204)
Sabda Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;
فإذا كبر فكبروا، وإذا قرأ فأنصتوا (واه مسلم (404)
"Apabila imam bertakbir, maka hendaklah kamu bertakbir dan apabila imam membaca al-Quran, maka hendaklah kamu diam."
Sabda Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam dalam sebuah hadis hasan sahih;
إذا كنتم خلفي فلا تقرءوا إلا بأم القرءان
"Apabila kamu berada di belakangku (sebagai makmum), maka janganlah kamu membaca (al-Quran) melainkan al-Fatihah."(al-Darqutni)
Wallahu a'lam
Soalan 2:
Assalammualaikum.
1) Adakah waktu imam baca fatihah makmum mesti mendengar?
2) Bagaimana jika makmum membaca selepas imam selesai tetapi imam sudah rukuk sebelum makmum habis membacanya. Adakah perlu makmum terus rukuk tanpa menghabiskan bacaannya?
Jawapan kami;
1) Mendengar bacaan al-Fatihah imam dalam solat jahriyyah hukumnya adalah sunat (Mughni al-Muhtaj, I'anah al-Tolibin). Firman Allah Taala;
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
"Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat."(Surah al-A'raf 204)
2) Wajib makmum habiskan bacaan al-Fatihahnya dan ketika itu, makmum dimaafkan untuk ketinggalan 3 rukun yang panjang (I'anah al-Tolibin).
Wallahu a'lam
oleh Ustaz اليسع
USRAH SOLAT DAN Q&A IBADAH
https://telegram.me/usrah_solat_MSO
**Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i
0 Comment "Sunat Makmum Baca al-Fatihah dan Wajib Habiskan Bacaan Selepas Imam Baca"
Post a Comment