HARTA INTELEK MENURUT SYARIAT ISLAM



Oleh: Yusri Mohamad Ramli
*artikel ini telah diterbitkan oleh JAKIM dalam majalah Sinar Rohani Bil. 44, keluaran Jan/Feb 2007

Syariat Islam mempunyai lima matlamat (maqasid) atau keperluan (daruriyyat) utama yang mendasari segala hukumnya iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Ini menunjukkan bahawa harta mempunyai kedudukan yang penting di sisi Islam. Islam menggariskan banyak panduan dan hukum berkenaan harta samada dari sudut perwarisan, pemilikan, jual beli, dagangan, perbankan, dan sebagainya.

Harta intelek atau intellectual property di dalam bahasa Inggeris dan haq al-ibtikar di dalam bahasa Arab juga terangkum dalam maksud harta kerana ia mencakupi seluruh konsep harta iaitu sesuatu yang boleh dimiliki, hak milik seseorang, dan mempunyai nilai ekonomi.

Definisi harta intelek menurut fiqh Islam yang telah diutarakan oleh para ulama fiqh dapatlah disimpulkan sebagai sekumpulan hak yang disabitkan oleh syara’ untuk individu dalam bidang kuasa yang mengawal gambaran idea dan dipastikan memenuhi kepentingan perundangan dengan mengguna dan mentadbir dalam ruang lingkup ketentuan-ketentuan syara’ yang telah ditetapkan. Umumnya, definisi ini tidak jauh berbeza dengan apa yang dikemukakan oleh para sarjana undang-undang sivil.Jenis-jenis harta intelek menurut undang-undang Malaysia merangkumi harta industri dan hak cipta. Harta industri merangkumi cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, reka bentuk litar bersepadu, dan sebagainya.

Hak cipta pula merujuk kepada hak penguasaan yang dilindungi oleh undang-undang ke atas seluruh atau sebahagian daripada hasil ciptaan merangkumi karya sastera, karya muzik, karya seni, filem, rakaman bunyi, dan siaran.

Perbincangan mengenai harta intelek masih dianggap baru walaupun harta berbentuk intelek sebenarnya sudah lama wujud. Cuma masalahnya ialah undang-undang mengenainya masih belum mantap dan berkesan. Pengkajian mengenai perundangan harta intelek dikenal pasti bermula dengan berlangsungnya Paris Convention pada 20 Mac 1883 di Paris, Perancis. Sejak itu, para sarjana undang-undang telah memberi tumpuan yang mendalam terhadap isu-isu berkaitan harta intelek. Usaha ini semakin rancak setelah perkembangan drastik tekologi maklumat dan komunikasi (ICT) di samping globalisasi yang semakin melebar dalam ekonomi dunia pada akhir abad ke-20. Masalah plagiat atau ciplak, penipuan serta penindasan-penindasan lain sememangnya merupakan masalah utama dalam harta intelek sejak dahulu lagi.
Hal ini pernah dinyatakan oleh al-Hujwiri, seorang ulama tasawwuf terkenal di dalam kitabnya Kashf al-Mahjub:

"Apabila orang yang kurang berpengetahuan tentang ilmu ini melihat sebuah buku baru, yang tidak diletakkan nama pengarangnya, mereka menisbahkan karya tersebut kepada diri mereka sendiri, dan ini akan menyebabkan maksud dan tujuan pengarang sebenar disingkirkan sedangkan sesebuah buku itu disusun dan ditulis dengan tujuan agar nama pengarangnya tetap diingati, dan agar pembaca dan para pelajar menyampaikan berkat kepadanya. Musibah ini telah menimpa kepadaku sebanyak dua kali. Seseorang telah meminjam karya-karya puisiku yang tidak ada lagi salinannya, dan dia menyatakan naskah itu sebagai miliknya dan ini menyebabkan seluruh usahaku hanya sia-sia. Semoga Tuhan mengampuninya. Aku juga menyusun sebuah buku yang lain berjudul, Minhaj al-Din mengenai metod tasawwuf, semoga Tuhan menjadikannya berkembang di kalangan masyarakat. Seorang penipu yang licik telah memadamkan namaku dari halaman judul dan kemudiannya menyatakan kepada khalayak ramai bahawa dialah pengarangnya, walaupun para ahli ilmu mentertawakan pernyataannya itu."

Masalah ini menyebabkan al-Hujwiri terpaksa mengambil tindakan susulan dengan menulis namanya dalam setiap halaman kitab yang ditulisnya. Teknik ini telah digunakan secara meluas oleh penulis-penulis buku sejak dari dahulu hingga kini bagi menjaga hak cipta karya mereka.Jika kita melihat dari aspek perundangan fiqh, antara ulama terdahulu yang membincangkan mengenai harta intelek ialah al-Imam al-Qarafi di dalam kitabnya, al-Furuq yang membahaskan sama ada ijtihad para ulama yang juga termasuk dalam harta intelek boleh diwarisi ataupun tidak. Al-Imam Jalal al-Din al-Suyuti juga turut membahaskan isu harta intelek di dalam karyanya al-Fariq Bayn al-Musannif wa al-Sariq. Kebanyakan topik yang diperbincangkan ulama Islam berkaitan dengan harta intelek merangkumi hukum wajib menjaga amanah ilmu, kaedah periwayatan Hadith, dan sebagainya yang menjadi intipati kepada peruntukan undang-undang harta intelek. Di sini jelas bahawa Islam amat menitikberatkan penjagaan harta intelek. Bukti yang tidak dapat disangkal lagi ialah bagaimana ulama Islam mengerahkan seluruh tenaga menghimpunkan Hadith-hadith Rasulullah (s.a.w.) dan menyelidiki kesahihannya di samping menyusun pelbagai disiplin ilmu seperti Mustalah al-Hadith, al-Jarh wa al-Ta'dil, Rijal al-Hadith, dan sebagainya. bagi memastikan hadith-hadith Nabi (s.a.w.) ini dipelihara dari sebarang penipuan dan penyelewengan. Satu persoalan yang timbul ialah kenapa para pencabul mudah melakukan jenayah harta intelek dan sukar dibendung berbanding jenayah yang lain? Selain daripada aspek keabstrakan harta intelek itu sendiri yang tidak bersandarkan kepada barangan, satu masalah yang cukup penting ialah kesedaran masyarakat yang masih pada tahap yang tidak memuaskan, termasuklah para sarjana dan ulama Islam sendiri.

Ini dijelaskan oleh Zuhayr 'Abd al-Rahman al-'Attas di dalam kitabnya yang berjudul al-Himayah al-Shar'iyyah wa al-Qanuniyyah li Huquq al-Mu’allif bahawa isu harta intelek sebagaimana yang dipentingkan oleh undang-undang serta penjagaannya di peringkat tempatan dan antarabangsa tidak diambil hirau oleh para pengkaji dalam bidang perundangan Islam dengan sewajarnya. Mereka tidak memberi hukum yang jelas. Ditambah pula dengan sikap masyarakat yang tidak mengambil peduli. Ini sekaligus memberi peluang kepada pencabul-pencabul hak untuk mencuri harta-harta pencipta untuk diniagakan dengan tujuan yang berdasarkan kepada kejahilan dan ketamakan.

Kenapa kita perlu dengan serius menjaga harta intelek?

Pertamanya kerana ia juga dikira sebagai harta yang dimiliki oleh seseorang yang telah mengerahkan idea untuk menghasilkannya.

Keduanya ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hujwiri iaitu apabila orang ramai melihat sebuah buku (contohnya) dan mengetahui bahawa pengarangnya adalah ahli dan pakar dalam bidang ilmu pengetahuan yang dibahas oleh buku tersebut, maka mereka akan menilai secara lebih jujur bahawa buku itu berfaedah. Lantas mereka akan lebih bersungguh-sungguh untuk membaca dan mengingatnya, sehingga pengarang dan juga pembaca sama-sama berasa puas.

Pendalilan syara’ mengenai harta intelek dapat difahami melalui beberapa hujah.

Pertama ialah hujah berasaskan nas al-Quran yang memberikan gambaran umum bahawa semua bentuk harta termasuk harta intelek adalah dipelihara oleh undang-undang syariat dari dicabuli oleh sesiapa. Firman Allah (s.w.t.) yang bermaksud:Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. Dan barangsiapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Kedua ialah berdasarkan hadith-hadith Rasulullah (s.a.w.). Antaranya sabda Baginda (s.a.w.) yang bermaksud:Tidak dihalalkan harta seseorang muslim melainkan dengan kebenaran dari dirinya.Juga sabda Baginda (s.a.w) yang bermaksud: "Setiap muslim ke atas muslim yang lain diharamkan (daripada mencabuli) nyawanya, hartanya, dan maruahnya."

Ketiga ialah berdasarkan hujah qiyas. Harta intelek boleh diqiyaskan dengan manfaat seperti yang didapati pada buah-buahan atau barangan lain. Contohnya hasil penulisan seseorang penulis adalah berdasarkan kepada idea penulis dan hasil usaha mindanya yang boleh disamakan dengan manfaat pada buah durian yang keluar dari pokok durian yang ditanam dengan usaha pemiliknya.

Idea penulis tersebut boleh dimanfaatkan dengan membaca dan mendapat keuntungan hasil penerbitannya, manakala durian dimanfaatkan dengan memakannya dan mendapatkan keuntungan hasil jualannya.

Keempat ialah hujah berdasarkan al-masalih al-mursalah. Walaupun harta intelek termasuk di dalam harta yang merupakan salah satu daripada lima matlamat syara’, namun tidak ada nas yang khusus mensabitkannya. Oleh itu ia tergolong dalam maslahat umum. Pendalilan harta intelek berasaskan al-masalih al-mursalah tidak bercanggah dengan mana-mana nas atau usul agama, bahkan mensabitkannya secara umum seperti nas-nas yang telah dibentangkan di atas. Maslahat yang terkandung dalam harta intelek juga adalah jelas iaitu bertujuan mendapatkan manfaat dan menjauhkan pencabulan hak. Maslahatnya juga menyeluruh dan tidak terhad kepada pemiliknya, tetapi juga untuk keseluruhan masyarakat yang menerima atau membelinya.

Kelima ialah hujah berdasarkan al-'urf atau adat. Harta intelek telah diterima oleh adat perniagaan semasa. Adat kebiasaan masyarakat ini jelas tidak bertentangan dengan nas-nas syara’, malah diamalkan oleh seluruh umat Islam dan manusia umumnya. Dapat dipastikan bahawa tidak ada tanda yang menunjukkan bahawa harta intelek tidak diiktiraf syara’. Bahkan perbuatan menzalimi dan mencabulinya itulah yang dilarang sama sekali oleh syara’.

Hujah keenam ialah berdasarkan kepada sad al-dhara’ic atau mengelak kemudaratan.

Berdasarkan hujah ini, harta intelek yang diambil secara zalim akan menyebabkan kemudaratan. Kemudaratan ini tergambar apabila hasil sesuatu idea seseorang pencipta tidak diperundangkan. Ini akan menyebabkan berlakunya penganiayaan kepadanya dan kemudiannya akan melebar kepada umum bilamana perkembangan bidang-bidang ciptaan seperti sains, teknologi, dan kesenian akan terbantut disebabkan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini sekaligus menyebabkan kepentingan masyarakat dan negara akan terjejas.

Daripada kesemua hujah ini jelaslah bahawa harta intelek wajib dilindungi sebagaimana harta-harta lain yang bersifat barangan. Harta intelek juga diharamkan kepada sesiapa daripada dicabuli.

Jika harta intelek tidak diperundangkan dalam Islam, orang ramai akan sewenang-wenangnya melakukan cetak rompak, plagiat, dan bermacam-macam pencabulan hak intelek tanpa henti. Oleh yang demikian, satu usaha bersepadu diperlukan sama ada di peringkat antarabangsa melalui pertubuhan berkaitan seperti World Intellectual Property Organization (WIPO) serta dalam negara melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Usaha sama dan gandingan bahu para sarjana undang-undang syariah dan sivil juga amat diharapkan bagi memperkukuhkan lagi perundangan harta intelek agar hak-hak individu yang telah berhempas pulas mengerah idea dan keringat terjamin dan terpelihara daripada sebarang bentuk pencabulan dan penganiayaan. Undang-undang juga hendaklah tidak hanya ditujukan kepada golongan yang mencabuli hak, tetapi juga kepada pembeli-pembeli barangan hasil intelek yang tahu bahawa barang yang mereka beli itu diciplak dan dicuri.

Kesedaran ini wajar dimantapkan dengan penghayatan agama melalui penerangan hukum-hukum fiqh serta penerapan akhlak dan nilai-nilai murni Islam yang sememangnya bersifat sejagat dan sesuai bagi setiap agama, bangsa, tempat, dan zaman.

Wallahu a'lam.

https://telegram.me/madrasahsunnionline_MSO

0 Comment "HARTA INTELEK MENURUT SYARIAT ISLAM"

Post a Comment

Thank you for your comments