Hukum Melukis Melihat Gambar Nabi




Dari Group Usrah Solat : Q&A (MSO-D7)

❤️Soalan:
kenapa kita tidak dibenarkan melukis,melihat ,gambar nabi ??

❤️Jawapan kami;

Larangan melukis atau menggambarkan Nabi sollallahu alaihi wa sallam dalam bentuk foto, lukisan, ilustrasi dan seumpamanya adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat ketika Fath Makkah, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam memerintahkan untuk menghancurkan gambar dan patung para nabi terdahulu yang terdapat di Kaabah. Para ulama juga telah mengambilkira ijmak sukuti tentang dilarangnya melukis Nabi dan Rasul tersebut.

Juga berdasarkan kaedah pencegahan (sad al-Zariah) untuk menghindari hal-hal yang tidak diinginkan oleh agama dan kemurnian Islam baik segi akidah, akhlak, mahupun syariah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam melaknat keras orang yang berdusta dengan memakai nama baginda sollallahu alaihi wa sallam. "Barangsiapa berdusta ke atasku dengan sengaja maka disediakan untuknya satu tempat di dalam neraka." (Muttafaq ‘Alaih).

Maksud daripada hadis ini, pada zaman Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam tiada suatu pun manuskrip, gambar, patung yang benar-benar menggambarkan sosok tubuh Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam secara sempurna. Sehinggakan, ketika ada orang yang mengaku melukis sosok Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam, dia termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam hadis di atas. Terutamanya, orang yang sengaja melukis karikatur Nabi Muhammad dengan maksud mengolok-olok dan mempersendakan baginda.

Syeikh ‘Atiyyah Saqr melalui kitabnya Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wal Ahkam, Dar Ghad al-‘Arabi, Jilid 1 halaman 156 menyebutkan larangan meniru para nabi dalam ilustrasi mahupun dalam lukisan. Beberapa alasannya adalah ilustrasi atau lukisan tersebut tidak mungkin secara mutlak menyerupai sosok tubuh Nabi yang sebenarnya.

Dengan meniru dan melukis sosok baginda Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam, seseorang akan terjerumus dalam dusta atas nama Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam. Jika lukisan yang menggambarkan sosok Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam ternyata lukisan yang buruk, maka ia akan memberi gambaran buruk kepada yang melihatnya.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan fatwa Syeikh Hasanain Makhluf pada Mei 1950, Lujnah Fatwa Azhar bulan Jun 1968, Dewan Majma' ‘Buhuth Islamiyah pada Februari 1972, dan Muktamar ke-8 Majma' bulan Oktober 1977. Dar al-Ifta Mesir menyatakan bahawa, larangan ini adalah kerana Allah telah memelihara para rasul dan nabi tidak mampu diserupai oleh syaitan. Demikian juga, Allah memelihara para rasul dan nabi tidak mampu ditiru oleh manusia.

Bahkan, melukis wajah Nabi sollallahu alaihi wa sallam dikhuatiri akan mendatangkan mudarat yang lebih besar. Dalam kaedah hukum disebutkan bahawa menghindari mudarat lebih diutamakan daripada mengambil manfaat.

Hikmah daripada larangan ini juga adalah untuk menjaga kemurnian akidah umat Islam. Dengan tidak adanya lukisan fizikal Nabi, maka tidak akan terjadi pendewaan yang berlebihan terhadap baginda. Pendewaan yang berlebihan dikhuatiri akan menjerumuskan seseorang kepada pemujaan terhadap Nabi sollallahu alaihi wa sallam melebihi pemujaan terhadap Allah Taala.

Rujuk juga;

Hukum Melukis Gambar Sahabat Nabi SAW - http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/himpunan-fatwa/171-keputusan-mesyuarat-fatwa/540-hukum-melukis-gambar-sahabat-nabi-saw

📝by: @AbuMuhd

USRAH SOLAT DAN Q&A MSO
https://telegram.me/usrah_solat_MSO

**Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i

0 Comment "Hukum Melukis Melihat Gambar Nabi"

Post a Comment

Thank you for your comments