Hadith Jariah Berkaitan Isu Di Mana Allah
Dari Group Aqidah ASWJ - MSO D21
HADIS JARIAH (hamba perempuan).
قَالَ: وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: ائْتِنِي بِهَا فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا: أَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ
"Mu’awiyah ibn al-Hakam al-Salami berkata : “Aku memiliki seorang hamba perempuan yang mengembala kambing-kambingku di sekitar Uhud dan Jawwaniyah. Suatu hari ketika aku menjengoknya, tiba-tiba seekor serigala telah melarikan seekor kambing daripada gembalaannya. Aku sebagai seorang manusia menjadi marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali. Kemudian aku mendatangi Nabi sollallahu alaihi wa sallam dan baginda memandang serius perbuatanku yang sedemikian (menampar muka jariah tersebut). Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah perlu aku merdekakan dia?” Baginda bersabda, “Bawa dia ke mari!” Maka aku bawa dia mengadap baginda. Baginda bertanya kepadanya, “Di mana Allah?” Dia menjawab, “Di langit.” Nabi bertanya lagi; Siapa aku?, jawabnya; ‘Engkau Rasulullah’. Maka Baginda bersabda, “Merdekakan dia! Sesungguhnya dia seorang mukminah.”(Riwayat Muslim, no. 537).
Huraian Ulamak Berkaitan Hadis Jariah
1) Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, berkata:
هذا الحديث من أحاديث الصفات وفيها مذهبان تقدم ذكرهما مرات في كتاب الايمان: أحدهما : الايمان به من غير خوض في معناه مع اعتقاد أن الله تعالى ليس كمثله شئ وتنزيهه عن سمات المخلوقات، والثاني : تأويله بما يليق به ، فمن قال بهذا قال: كان المراد امتحانُها هل هي موحدة تقر بأن الخالق المدبر الفعال هو الله وحده وهو الذي إذا دعاه الداعي استقبل السماء كما إذا صلى المصلي استقبل الكعبة وليس ذلك لانه منحصر في السماء كما أنه ليس منحصرا في جهة الكعبة، بل ذلك لان السماء قبلة الداعين كما أن الكعبة قبلة المصلين، أو هي من عبدة الاوثان العابدين للاوثان التي بين أيديهم فلما قالت في السماء علم أنها موحدة وليست عابدة للاوثان.
“Hadis ini termasuk hadis-hadis sifat. Padanya ada dua aliran (penafsiran), telah disebut berulang kali keterangan tentangnya dalam Kitab al-Iman iaitu,
Pertama : Beriman dengannya tanpa menelusuri maknanya beserta keyakinan bahawa Allah Taala tiada sesuatu yang menyerupaiNya, dan menyucikanNya daripada sifat-sifat makhluk.
Kedua : mentakwilkannya dengan makna yang layak bagiNya.
Jalan yang kedua pula ialah mentakwilkan hadis tersebut dengan apa yang layak bagi Allah. Maka sesiapa yang berpegang dengan jalan yang kedua ini, berpeganglah dia dengan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah Nabi sollallahu alaihi wa sallam menguji jariah tersebut untuk mengetahui sama ada dia seorang ahli tauhid yang mengakui Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pembuat adalah Allah semata-mata, yang mana Dialah Tuhan yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang bersolat dia menghadap kaabah, dan bukanlah perlakuan sedemikian ini (menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap kaabah ketika bersolat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) kaabah (Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang bersolat. Atau jariah tadi ialah seorang penyembah segala berhala yang menyembah berhala-berhala tersebut di hadapan mereka (di sisi atau bersama mereka di bumi), maka tatkala dia menjawab: "Di langit," diketahuilah bahawasanya dia seorang ahli tauhid dan bukannya seorang penyembah berhala (jika jariah tersebut seorang penyembah berhala, nescaya dia tidak akan menjawab bahawa Allah Tuhannya di langit, tetapi dia akan menunjukkan berhala yang disembahnya yang berada bersamanya di bumi ini).”(Syarh Muslim, Muassisah Qurtubah, Juz. 5, Hal. 33-34).
2) Qadhi ‘Iyadh mengatakan:
لا خلاف بين المسلمين قاطبة فقيههم ومحدثهم ومتكلمهم ونظارهم ومقتدهم أن الظواهر الواردة بذكر الله تعالى في السماء كقول الله تعالى ءأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الارض ونحوه ليست على ظاهرها
“Tiada perselisihan pendapat dalam kalangan kaum Muslimin, baik ahli fekah, ahli hadis, ahli teologi, ahli fikir dan pengikut mereka bahawa zahir-zahir nas yang menyebut Allah di langit seperti firman Allah: “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu?” dan yang seumpamanya itu tidak diertikan secara zahirnya.”(Syarh Muslim, Muassisah Qurtubah, Juz. 5, Hal. 34).
3) Al-Hafiz Ibn al-Jauzi ketika mengomentari hadis jariah mengatakan :
قلت : قد ثبت عند العلماء أن الله تعالى لا تحويه السماء والارض ولا تضمه الاقطار وإنما عرف بإشارتها تعظيم الخالق عندها .
“Aku berkata, ‘Telah tetap di kalangan para ulama bahawa Allah Taala tidak diliputi oleh langit dan bumi dan tidak pula dihimpun oleh penjuru, akan tetapi hanya dikenaliNya dengan isyarat hamba perempuan itu ke arah langit kerana pengagungan Zat Maha Pencipta.”(Daf’u Syubhah, Dar al-Imam al-Rawas, Beirut, Hal. 189).
4) Imam al-Subki dalam kitab al-Saif al-Soqil Fi al-Raddi ‘ala Ibni Zafil mengatakan :
أقول: أما القول: فقوله صلى الله عليه وسلم للجارية "أين الله ؟" قالت: "في السماء" وقد تكلم الناس عليه قديما وحديثا والكلام عليه معروف ولا يقبله ذهن هذا الرجل
“ِAku berkata: ‘Adapun ucapannya: Sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam kepada hamba perempuan, ‘Di mana Allah?’ dan jawabannya, ‘Di langit.’ Ketahulilah bahawa para ulamak sejak dahulu hingga sekarang telah banyak membicarakan berkenaan hadis tersebut. Perbicaraan tentangnya sangat makruf, dan orang ini (Ibn Zafil) tidak menerimanya (dengan berpendapat Allah berada di langit).”(al-Saif al-Saqil Fi al-Raddi ‘ala Ibni Zafil, Maktabah al-Azhariyyah lil Turath, Hal. 82-83).
KESIMPULAN
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa hadis al-Jariah tersebut tidak boleh ditafsirkan menurut makna zahirnya. Akan tetapi wajib diserahkan maksudnya kepada Allah Taala tanpa menelusuri maknanya dengan mengiktiqadkan bahawa Allah Maha Suci daripada mempunyai tempat dan arah (mazhab tafwidh). Atau menafsirkannya sesuai dengan sifat yang layak bagi Allah Taala sebagaimana tafsiran sebahagian ulamak yang telah kita kemukakan di atas.ال
Syeikh Nawawi al-Bantani al-Syafi'i menyatakan:
ﻣَﻦْ ﺗَﺮَﻙَ ﺃَﺭْﺑَﻊَ ﻛَﻠِﻤَﺎﺕٍ ﻛَﻤُﻞَ ﺇِﻳْﻤَﺎﻧُﻪُ ﺃَﻳْﻦَ ﻭَ ﻛَﻴْﻒَ ﻭَ ﻣَﺘٰﻰ ﻭَ ﻛَﻢْ، ﻓَﺈِﻥْ ﻗَﺎﻝَ ﻟَﻚَ ﻗَﺎﺋِﻞٌ ﺃَﻳْﻦَ ﺍﻟﻠّٰﻪُ؟ ﻓَﺠَﻮَﺍﺑُﻪُ ﻟَﻴْﺲَ ﻓِﻲ ﻣَﻜَﺎﻥٍ ﻭَﻻَ ﻳَﻤُﺮُّ ﻋَﻠَﻴْﻪِ
ﺯَﻣَﺎﻥٌ، ﻭَﺇِﻥْ ﻗَﺎﻝَ ﻟَﻚَ ﻛَﻴْﻒَ ﺍﻟﻠّٰﻪُ؟ ﻓَﻘُﻞْ ﻟَﻴْﺲَﻛَﻤِﺜْﻠِﻪِ ﺷَﻴْﺊٌ، ﻭَﺇِﻥْ ﻗَﺎﻝَ ﻟَﻚَ ﻣَﺘٰﻰ ﺍﻟﻠّٰﻪُ؟ ﻓَﻘُﻞْ ﻟَﻪُ ﺃَﻭَّﻝٌ ﺑِﻼَ ﺍﺑْﺘِﺪَﺍﺀٍ ﻭَ ﺀَﺍﺧِﺮٌ ﺑِﻼَ ﺍﻧْﺘِﻬَﺎﺀٍ، ﻭَ ﺇِﻥْ ﻗَﺎﻝَ ﻟَﻚَ ﻗَﺎﺋِﻞٌ ﻛَﻢْ ﺍﻟﻠّٰﻪُ؟ ﻓَﻘُﻞْ ﻟَﻪُ ﻭَﺍﺣِﺪٌ ﻻَ ﻣِﻦْ ﻗِﻠَّﺔٍ ﻗُﻞْ ﻫُﻮَ ﺍﻟﻠّٰﻪُ ﺃَﺣَﺪٌ
"Barangsiapa meninggalkan empat kalimah ini (tidak menanyakan kalimah tersebut tentang zat Allah) maka sempurnalah keimanannya iaitu;
di mana..?
bagaimana..?
bila..? dan
berapa..?,
1. Jika seseorang berkata kepada anda: Di mana Allah?
Maka jawablah:
Dia ada tanpa tempat dan tidak terikat oleh waktu.
2. Jika dia berkata: Bagaimana Allah? Maka jawablah: Dia tidak menyerupai suatu apapun daripada makhlukNya.
3. Jika dia berkata: Bila Allah ada? Maka jawablah: Dia Allah al-Awwal : ada tanpa permulaan (tiada yang menciptakan Allah daripada tiada kepada ada) dan Dia al-Akhir : ada tanpa penghabisan (tidak mati, punah ataupun binasa).
4. Jika dia berkata: Berapa Allah? Maka jawablah : Dia Allah Maha Esa tiada sekutu bagiNya, Dia Maha Esa bukan dari segi bilangan nombor yang bererti sedikit, tetapi dari segi bahawa tiada sekutu bagiNya dan tiada yang
menyerupaiNya. ”
(Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja)
Wallahualam
Klik link ini untuk join group Aqidah ASWJ MSO-D21:
https://telegram.me/aqidah_Islam
0 Comment "Hadith Jariah Berkaitan Isu Di Mana Allah"
Post a Comment