Ucapan Bilal Ketika Sebelum Khatib Naik ke Mimbar



Dari Group Usrah Solat : Q&A Ibadah (MSO-D7)

Soalan:

Salam ustaz...mengapa setiap masjid berbeza2 bacaan ketika muazin pegang tongkat khatib sebelum hendak diserahkan pada khatib sebelum khatib baca khutbah jumaat?
apakah yg patut dibaca ketika itu yg sebenarnya?

Jawapan kami;

Ucapan bilal ketika sebelum khatib naik ke mimbar sebagaimana yang lazim dilakukan dikenali sebagai ‘muraqqi’ seperti mengucapkan;

إذَا قُلْت لِصَاحِبِك وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ فَقَدْ لَغَوْت

Atau;

إنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ... الْآيَةُ

Menurut Imam al-Ramli, perbuatan termasuk dalam kategori bidaah yang hasanah (elok) sepertimana yang dinyatakan;

Imam Ramli ditanya tentang ucapan yang dilakukan oleh Muraqqi (muazzin) di hadapan khatib dengan mengucapkan;

إنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ... الْآيَةُ

"Adakah yang demikian terdapat asalnya daripada sunnah nabi?
Apakah yang demikian pernah dilakukan di hadapan Nabi sollallahu alaihi wa sallam, para sahabat dan tabi’in sebagaimana yang dilakukan sekarang?"

Imam Ramli menjawab :

"Hal yang demikian tidak terdapat asalnya daripada sunnah dan ianya tidak pernah dilakukan di hadapan Nabi sollallahu alaihi wa sallam. Bahkan, Nabi sollallahu alaihi wa sallam menunda-nundakan (menangguhkan perlaksanaan solat Jumaat) di hari Jumaat sehingga orang-orang (jemaah) berkumpul. Apabila mereka berkumpul, baginda pun keluar dengan bersendirian tanpa pengiring yang menyeru di hadapannya. Apabila memasuki masjid, baginda memberi salam kepada mereka dan ketika baginda naik ke atas mimbar,  baginda terus menghadapkan mukanya kepada mereka (para jemaah). Kemudian baginda duduk dan Bilal terus mengumandangkan azan. Setelah azan selesai, Nabi sollallahu alaihi wa sallam terus memulakan khutbahnya tanpa pemisah antara azan dan khutbah, sama ada dengan athar, khabar mahupun selainnya. Begitu jugalah apa yang dilakukan oleh tiga khulafa’ al-Rasyidun selepasnya.

Maka dapat diketahui, yang demikian itu adalah merupakan perkara yang bidaah. Namun, ia dikategorikan sebagai bidaah yang hasanah (elok) kerana dalam pembacaan ayat yang mulia tersebut mengandungi peringatan dan anjuran untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam pada hari Jumaat yang memang terdapat anjuran supaya memperbanyakkan selawat. Malah dalam pembacaan hadis (berkaitan perintah untuk senyap ketika khutbah) selepas azan dan sebelum khutbah dimulakan mampu memberikan kesedaran kepada para mukallaf agar meninggalkan pembicaraan yang diharamkan atau dimakruhkan sewaktu khutbah berlangsung (terdapat perbezaan pendapat antara ulama tentang hukum berbicara ketika khutbah sedang berlangsung). Sesungguhnya baginda Nabi sollallahu alaihi wa sallam membaca hadis tersebut di atas mimbar di dalam khutbahnya." (Fatawa al-Ramli)

Wallahu a'lam.

Oleh Ustaz اليسع

USRAH SOLAT DAN Q&A IBADAH
https://telegram.me/usrah_solat_MSO
**Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i

0 Comment "Ucapan Bilal Ketika Sebelum Khatib Naik ke Mimbar"

Post a Comment

Thank you for your comments