Terdapat 2 pendapat ulamak Mazhab Syafi'i berkaitan solat Isyraq iaitu;
1) Menurut pendapat Syeikh Zakariya al-Ansori (Asna al-Matolib 1/418), Syeikh Ibn Hajar al-Haitami di dalam Fatawa Kubra 1/188 dan Syarh 'Ubab (al-I'ab), dan Syeikh Ramli (Nihayah al-Muhtaj 2/116) memilih pendapat bahawa solat Isyraq itu adalah solat Dhuha (2 solat yang sama) berdasarkan perkataan Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak;
"أن صلاة الإشراق هي صلاة الأوبين"
"Sesungguhnya solat Isyraq adalah solat Dhuha."
2) Menurut pendapat Imam al-Muzajjad ('Ubab 1/263), Imam al-Ghazali, Syeikh Ibn Hajar al-Haitami di dalam Tuhfah 2/237 dan al-Imdad, dan Ibn Ziyad di dalam fatawanya memilih pendapat bahawa solat Isyraq itu bukan solat Dhuha (2 solat yang berlainan) seperti yang disebutkan di dalam Surah Sod ayat 18 berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (586).
Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda;
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِى جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍJusteru, berdasarkan pendapat ini, solat Isyraq memadai dilakukan dengan dua rakaat sahaja dan ianya tidak dikaitkan dengan bilangan rakaat tertentu seperti solat Dhuha (I'anah 1/408).
“Barangsiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq), maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.”
Waktu Isyraq adalah merujuk kepada serakan cahaya matahari dengan kelihatan bulatan penuh matahari. Masuknya waktu solat Isyraq adalah ketika berakhirnya waktu makruh (tahrim) iaitu dengan masuknya waktu Dhuha
(Asna al-Matolib 418/1, Tuhfah al-Muhtaj 238/2, I'anah al-Tolibin 405-406/1).
Disebutkan oleh Syeikh Abd Somad al-Falimbani;
"Maka apabila terbit matahari sekira-kira segalah, maka hendaklah engkau sembahyang dua rakaat dinamakan dia sembahyang sunat Isyraq..."(Hidayah al-Salikin 20).Walaubagaimanapun, menurut Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh al-Syamail dan Ibn Mufaddhal al-Wasiti al-Yamani, masuk waktu solat Isyraq adalah dengan terbit matahari (طلوع الشمس) sekalipun ia belum naik lagi (Umdah al-Mufti 178/1).
Terdapat tiga perkataan ulamak berkaitan luputnya (berakhirnya) waktu solat Isyraq iaitu;
1) Waktunya luput dengan berlalunya waktu syuruq dan naiknya matahari (I'anah 1/408).
2) Menurut al-Syarwani (237/2), ia diqiaskan dengan solat Dhuha ataupun ia luput dengan lamanya perceraian (berlalu waktu) mengikut 'uruf.
3) Disebutkan pula di dalam Kitab Fath al-'Allam (38/2), waktu solat Isyraq luput dengan tingginya hari siang (matahari).
Namun begitu, waktunya tidak berpanjangan sehingga gelincir matahari seperti solat Dhuha (I'anah 1/408, Fath al-'Allam 38/2).
Maklumat tambahan berkaitan permulaan waktu solat Dhuha.
Menurut Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Raudhah, waktu Dhuha bermula daripada terbit matahari. Terbit matahari (طلوع الشمس) merujuk kepada terbitnya matahari di ufuq timur atau disebut sebagai waktu Syuruq (شروق).
Manakala menurut Imam al-Rafi'ei dan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Tahqiq dan al-Majmuk pula, waktu Dhuha bermula daripada naik matahari sekadar rumh (tombak) atau anggaran segalah (Asna al-Matolib 415/1, Tuhfah al-Muhtaj 232/2, Nihayah al-Muhtaj 118/2).
Sehubungan itu, Dhuha bererti; terang benderang hasil daripada terbitnya matahari. Maka ia berpandukan nilai cahaya matahari dengan anggaran segalah atau kadar panjang lembing dari penglihatan mata menuju ke kedudukan matahari yang baru terbit di ufuq kaki langit timur iaitu dengan kadar ukuran 8 hasta. Manakala 8 hasta dengan nilai darjah adalah 7 darjah. Oleh itu, setiap 1 darjah = 4 minit, maka 7 darjah = 28 minit. Justeru, 28 minit daripada waktu terbit matahari di semua tempat adalah awal waktu Dhuha mengikut kiraan ahli falak terkini. Walaubagaimanapun, menurut ahli falak terdahulu seperti Abu Yahya al-Habbak al-Tilimsani di dalam Kitab Nail al-Matlub fi al-'Amal bi Rub' al-Juyub, awal waktu Dhuha adalah 20 minit setelah berlalu waktu Syuruq. Adapun, mengikut Hasan al-Kaf pula, jarak waktu di antara terbit matahari sehingga matahari naik sekadar rumh (tombak) atau anggaran segalah adalah menyamai 16 minit (al-Taqrirot 192).
Waktu Dhuha berpanjangan sehinggalah gelincir matahari.
Namun, waktu yang terpilih untuk melaksanakannya adalah setelah berlalunya seperempat waktu siang iaitu mengikut kiraan falak kira-kira 40@48 minit selepas Syuruq. Hal ini adalah berdasarkan riwayat Muslim (748);
خرج النبي صلى الله عليه وسلم على أهل قباء وهم يصلون الضحى فقال: "صلاة الأوبين إذا رمضت الفصال."
Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam pergi ke Quba' dan mendapati penduduk di situ sedang bersolat Dhuha lalu baginda bersabda; "Solat Awwabin adalah tatkala anak unta mula berasa bahang panas matahari."
Wallahu a'lam
Rujukan;
- Bidayah al-Hidayah 107
- Asna al-Matolib
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Al-Fatawa al-Kubra
- Sabil al-Muhtadin 2/15
- Ghayah Talkhis al-Murad 94
- Hasyiah I'anah al-Tolibin
- Fath al-'Allam bi Syarh Mursyid al-Anam
- 'Umdah al-Mufti wal Mustafti 1/178
- al-Taqrirot al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah
Disediakan oleh Ust Alyasak b. Berhan
0 Comment "SOLAT ISYRAQ & DHUHA"
Post a Comment