Kejadian Alam
Dari Group Nota Aqidah Kita (ASWJ) - Perkongsian Ustaz اليسع
Sesungguhnya apabila seseorang itu berfikir dan meneliti kejadian alam ini maka dia akan dapat petunjuk bahawa Allah Taala yang telah menjadikannya.
1. Melihat sesuatu kejadian yang ada di sekeliling kita seperti kerusi atau meja dan sebagainya maka kita dapati kerusi atau meja tersebut tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang membuatnya dan yang mengadakannya.
Maka dengan itu kita beri’tiqad dan percaya alam ini tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang menjadikan dan menciptakannya tentulah Allah Taala yang Maha Pencipta.
2. Kita meneliti dan mengkaji dengan lebih jauh lagi akan perbuatan-perbuatan orang yang membuat kerusi atau meja ada yang berbagai bentuk dan rupa, yang mana mereka sentiasa membuat dan mengukir kerusi atau meja tadi dengan lebih baik dan lebih halus lagi ukirannya tetapi tidak pernah lengkap dan sempurna.
Maka itu kelemahan dan kekurangan manusia yang mengikut kadar dan ilmu serta kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah Taala. Maka kita menyedari bahawa Allah Taala adalah Maha Sempurna di dalam mencipta kejadian alam ini.
3. Kita melihat akan kejadian langit dan bumi ini dan alam cekerawala ini daripada manusia, bulan, matahari, haiwan, tumbuh-tumbuhan yang mana setiap jenis dijadikan dengan cukup lengkap dan sempurna. Contohnya manusia yang dijadikan adalah sebaik-baik kejadian iaitu: berakal, bertutur, mendengar dan lain-lain sifat lagi.
Dan apabila kita perhatikan alam cekerawala seperti bumi, langit, bulan, matahari dan lain-lain yang mana semuanya dicipta untuk manafaat dan keperluan semua makhluk yang mana semua itu melemahkan akal para cerdik pandai memikirkan segala kejadian tersebut yang tiada tolok bandingnya. Maka nyatalah di sini bahawa penciptanya mempunyai kuasa yang Maha Sempurna, Ilmu yang Maha luas dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan.
Sesungguhnya daripada Kaedah Syar’iyyah dan berita para Nabi bahawa yang menjadikan alam ini ialah Allah Taala kerana segala perbuatanNya menunjukkan bekas bagi segala sifat yang Maha Suci dan tidaklah makhluk dapat mengetahui hakikatnya kerana segala makhluk ciptaanNya sentiasa bersifat lemah dan mempunyai segala kekurangan.
Rujukan : (Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )
Klik link ini untuk join group Nota Aqidah:
https://telegram.me/aqidah_Islam
0 Comment "Kejadian Alam"
Post a Comment