Periwayatan Hadis.
Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi s.a.w membuat cincin dan berkata: Sesungguhnya kami membuat cincin dan kami adakan ukiran (nama baginda) padanya, maka jangan seseorang membuat ukiran yang sama.” Kata Anas: “Aku melihat kilauan cincin itu di jari kelingking baginda.”
(Riwayat al-Bukhari 5874, beliau juga menjadikan bab hadis ini sebagai: Bab Cincin di jari kelingking)
Daripada Anas bin Malik r.a; Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memakai cincin perak di tangan kanannya, padanya ada permata habsyi. (Riwayat Muslim 2094)
Ali r.a menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai cincinnya di tangan kanannya”. (Riwayat al-Tirmizi di dalam al-Syamail)
Hammad bin Salamah r.a menceritakan; “Aku telah melihat Abi Rafi’ r.a memakai cincin di tangan kanannya, maka aku bertanya kepadanya tentang hal tersebut. Lalu ia menjawab; ‘Kerana aku telah melihat Abdullah bin Jaafar r.a (seorang sahabat) memakai cincin di tangan kanannya dan ia (yakni Abdullah) berkata kepadaku; ‘Adalah Rasulullah s.a.w memakai cincin di sebelah tangan kanannya’”. (Riwayat al-Tirmizi 1744, Ibn Majah 3647 dan Ahmad).
Daripada Anas r.a dan Ibn Umar r.a keduanya menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w memakai cincin di tangan kirinya”. (Riwayat Muslim 2095 daripada Anas dan Abu Daud 4228 daripada Ibn Umar)
Daripada Jaafar bin Muhammad yang meriwayatkan daripada bapanya yang menceritakan; “Adalah Hasan dan Husain r.a (cucu Nabi s.a.w), kedua-dua mereka memakai cincin di tangan sebelah kiri mereka” (Riwayat al-Tirmizi 1743. Kata al-Tirmizi; hadis ini sahih).
Hadis daripada ‘Ali bin Abi Talib r.a yang berkata: “Rasulullah s.a.w melarangku daripada memakai cincin di dua jari ini dan ini.” Seraya beliau mengisyaratkan pada jari tengah dan jari sebelahnya (jari telunjuk).” (Riwayat Muslim 2078)
Dinukil oleh al-Suyuti daripada al-Hafiz Ibn Hajar, bahawa periwayatan yang meriwayatkan berkaitan Rasulullah s.a.w memakai cincin di jari kanannya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh sembilan orang sahabat r.a. iaitu Ibn Umar r.a. di dalam Sahih al-Bukhari, Anas r.a. di dalam Sahih Muslim, Ibn Abbas r.a dan Abdullah bin Jaafar r.a. di dalam Sunan al-Tirmizi, Jabir r.a. di dalam al-Syamail, Ali r.a. di dalam Sunan Abi Daud dan al-Nasaei, Aisyah r.a. di dalam Musnad al-Bazzar, Abu Umamah r.a. di dalam Mu'jam al-Tabarani dan Abu Hurairah r.a. di dalam Sunan Daraqutni.
Adapun periwayatan yang meriwayatkan tentang Rasulullah s.a.w memakai cincin di jari kirinya pula adalah melalui hadis riwayat Anas r.a. di dalam Sahih Muslim, Ibn Umar r.a. di dalam Sunan Abi Daud dan al-Nasaei serta Abu Sa'id r.a. di dalam al-Tabaqat Ibn Sa'd.
Terdapat juga suatu riwayat dhaif yang diriwayatkan oleh Ibn 'Addi di dalam al-Kamil dan al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah daripada hadis Ibn Umar r.a. yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w pada awalnya memakai cincin di jari kanannya kemudian menukarkannya ke jari kirinya pula.
PANDANGAN MAZHAB.
1) Mazhab Hanafi- Sebahagian daripada mereka menganjur pakai cincin di jari kelingking tangan kiri bukan di jari selainnya dan bukan di jari kelingking tangan kanan, manakala sebahagian mereka pula mengharuskan pakai cincin di jari kelingking kanan. Menurut Abu al-Laith, pakai cincin di jari kelingking kanan dan kiri sama-sama dianjurkan.
2) Mazhab Maliki- Mengikut pendapat yang terpilih, dianjurkan pakai cincin di jari kelingking tangan kiri dan makruh pakai cincin di jari kelingking tangan kanan.
3) Mazhab Syafi'i- Menurut al-Nawawi, telah menjadi ijmak muslimin bahawa sesungguhnya sunat bagi kaum lelaki memakai cincin di jari kelingking. Bahkan, para fuqaha' bersepakat tentang keharusan memakai cincin di tangan kanan dan kiri (jari kelingking).
Walaubagaimanapun, memakai cincin di jari kelingking kanan lebih afdhal pengikut pendapat yang sahih lagi masyhur. Adapun pakai cincin di jari tengah dan telunjuk pula, hukumnya adalah makruh.
Menurut pendapat yang rajih sepertimana yang disebutkan oleh Ba 'Alawi, harus beserta makruh memakai cincin di jari selain daripada jari kelingking.
Justeru, harus bagi kaum wanita memakai cincin di mana-mana jari sekalipun.
4) Mazhab Hanbali- Pakai cincin di jari kelingking tangan kiri itu lebih afdhal berbanding di jari tangan kanan. Makruh pakai cincin di jari tengah dan telunjuk.Tidak makruh pakai cincin di jari manis dan ibu jari.
Rujukan; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim jil.14, Al-Hawi li al-Fatawi jil.1, Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah jil.11, Hasyiah I'anah al-Talibin jil.2, Bughyah al- Mustarsyidin.
والله أعلم
Al-Faqir ila Allah,
Alyasak Berhan N9.
0 Comment "Jari Yang Dianjurkan Pakai Cincin Bagi Kaum Lelaki"
Post a Comment