Isu Hadith Kasyaf



Dari Group Telegram MSO-D1 : Bicara Hadith oleh Ustaz Khafidz Soroni


🔴Soalan:

siapa yg mempelopori manhaj khasyaf dalam pengsabitan hadith?

Jawapan:

Barangkali mengenal hadis sahih dan tidak sahih secara kasyaf telah dikesan sejak zaman tabiin lagi. Antara mereka ialah al-Rabi‘ bin Khuthaim at-Thawri al-Kufi (w. 61 atau 63H), seorang tokoh tabii, wali dan ahli ibadah yang pernah dipuji oleh Ibn Mas‘ud RA katanya: “Sekiranya Rasulullah SAW melihatmu, nescaya dia akan mengasihimu”.

Al-Khatib al-Baghdadi dan lain-lain telah meriwayatkan daripada al-Rabi‘ bin Khuthaim katanya:
إن للحديث ضوءا كضوء النهار يعرف، وظلمة كظلمة الليل تنكر.
“Sesungguhnya bagi hadis itu ada cahaya seperti cahaya siang yang dapat dikenali dan ada kegelapan seperti kegelapan malam yang tidak dapat dikenali”. (al-Kifayah: 605)

🔴Soalan:

Memanjangkan perbincangan. Seperti Syaikh Abdul Aziz Dabbagh dikatakan mengenal adakah hadis yang diriwayat itu betul atau palsu ialah dengan melihat cahaya keluar darinya atau tidak.

Disisi ahli hadis, bagaimana mereka menilai ust masalah ni?

Jawapan:

Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014H) ada menyebut dalam kitab Syarh Syarh Nukhbah al-Fikar: “Adapun kasyaf dan ilham, kedua-duanya adalah terkeluar daripada perbahasan kerana adanya kemungkinan tersalah pada kedua-duanya”.

Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah pernah mengkritik mereka yang berpegang dengan kasyaf ahli sufi dalam  mentashih hadis mawdu‘ dan menegaskan bahawa hadis perlulah diambil daripada ahlinya dan tidak boleh diambil daripada yang bukan ahlinya, walaupun mereka itu tinggi martabatnya sekalipun. Kata beliau, bila pula ulama mengiktiraf bagi memastikan kesahihan sesuatu hadis itu terdapat dua cara; melalui periwayatan yang sahih daripada ahli hadis dan juga kasyaf ahli sufi?

Bagaimanapun berdasarkan pengamatan al-faqir, meskipun kasyaf tidak disebut sebagai kaedah penilaian hadis dalam kitab2 ulum al-hadith, namun ulama hadis tidaklah bersepakat untuk menolak secara melulu kaedah kasyaf ini. Kasyaf yang dimaksudkan di sini adalah kasyaf yg benar yg sahih daripada ahlinya, bukannya sebarang dakwaan kasyaf semata-mata.

al-Hafiz al-Sakhawi (w. 902H) dalam kitabnya al-Qawl al-Badi‘ ada menukilkan daripada Syeikh al-‘Arif Muhammad bin ‘Abdul Malik ad-dailami dalam kitabnya ‘Usul Mazahib al-‘Irfan billah’ tashih sebuah hadis secara kasyaf, namun beliau tidak pun mengecamnya. Beliau hanya mengulas: “Pengetahuan sebenar hanyalah di sisi Allah Taala”.

Al-Hafiz as-Suyuti (w. 911H) pula antara ulama hadis yg sudah masyhur sebagai ahli sufi yang menerima kaedah tashih secara kasyaf.

Al-Muhaddith al-‘Ajluni (w. 1162H) dalam kitab Kasyf al-Khafa’ (1/10) juga ada menukilkan daripada Syeikh Ibn ‘Arabi tentang kaedah tashih secara kasyaf dan beliau tidak pun mengkritiknya.

والله أعلم


Klik link ini untuk join group Bicara Hadith:
https://telegram.me/joinchat/BBhcUDu6GRybrztez3Dc-g

0 Comment "Isu Hadith Kasyaf"

Post a Comment

Thank you for your comments