Kewajipan Nafkah Isteri dari Suami




Dari Group Fiqh Akhwat MSO D18 - Perkongsian Ustaz اليسع

Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syirbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj (4/542) menyatakan bahawa suami wajib menunaikan hak-hak isteri (nafkah) iaitu:

1. Makanan/minuman
2. Bahan-bahan dapur seperti rempah-ratus, bawang, minyak masak, garam, gula, asam, termasuk lauk-pauk dan sebagainya
3. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu)
4. Pakaian
5. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya
6. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidur dan sebagainya
7. Tempat tinggal (rumah)

Selain daripada yang tersebut di atas seperti wang saku, duit poket dan seumpamanya adalah merupakan sedekah daripada suami dan bukannya kewajipannya.

Ulama’ sepakat mengatakan, nafkah pakaian bergantung pada kemampuan suami kerana tidak ada nas yang menentukan kadar atau jumlahnya, walaubagaimanapun menurut mereka, hakim atau qadhi boleh menentukan kadar dan jumlahnya itu dengan mempertimbangkan keadaan dan kemampuan suami. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu: 10/7389)

Menurut Imam al-Syirazi bahawa suami wajib memberikan pakaian kepada isterinya pada setiap enam bulan sekali dengan makna yang lain dua kali dalam setahun. (Al-Muhazzab: 4/613).

Walau bagaimanapun al-Syirazi menyebutkan bilangan minimum pakaian yang wajib diberikan oleh suami (seumur hidup isteri) adalah tiga helai pakaian pada musim panas dan empat pada musim sejuk iaitu gamis yang menutup seluruh badan, qina’ (tudung) yang menutup kepala, seluar atau kain menutup badan dan jubah (long outer garment) pada musim sejuk. (Takmilah al-Majmuk: 19/362)

Termasuk dalam kategori pakaian yang wajib disediakan itu ialah milhafah (selimut), wisadah (bantal), labid (hamparan permaidani yang tebal untuk tidur atau tilam), hasyir (tikar) dan lain-lain keperluan. (Al-Majmuk: 19/362)

Wallahu a'lam


Soalan:

Assalamualaikum ustaz . .sy ade soalan nak tanye . .jika seseorang isteri tu selalu ambil duit suami tanpa izin suami terlebih dahulu untuk guna beli barang dapur . . berdosa tak si isteri tu?

Jawapan kami;

Diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha bahawa Hindun binti Utbah berkata;

يَا رَسُوْلَ اللهِ إِن أَبَا سُفْيَانَ لاَ يُعْطِيْنِي مَا يُكْفِنِي وَيَكْفِيْ بَنِيَّى … فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالمَعْرُوْفِ مَايَكْفِيْكِ وَيَكْفِي لَنِيْكَ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan (suamiku) tidak memberiku nafkah yang cukup kepadaku dan kepada anak-anakku. Rasulullah salallahu’alaihi wasallam bersabda: “Ambillah hartanya dengan cara yang makruf sebanyak yang diperlukan olehmu dan anak-anakmu.”(Riwayat al-Bukhari, no. 2211, Muslim no. 1714)

Oleh itu, jika seorang suami tidak mahu memberikan nafkah harian yang menjadi kewajibannya, atau keluar rumah tanpa meninggalkan apa-apa nafkah untuk isteri, maka harus bagi isteri tersebut mengambil nafkahnya daripada harta suami mengikut kadar hajatnya walaupun tanpa kebenaran daripada hakim (Bughyah al-Mustarsyidin 242).

Wallahu a'lam.
oleh Ustaz اليسع

USRAH SOLAT DAN Q&A Ibadah
https://telegram.me/usrah_solat_MSO

**Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i

0 Comment "Kewajipan Nafkah Isteri dari Suami"

Post a Comment

Thank you for your comments