Adab berjiran antara perkara penting yang sangat ditekankan dalam Islam.
Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saiyyidatina ‘Aisyah r.a dan Ibn Umar r.a ;
وَعَنْ عَائِشَةَ وَابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ» . مُتَّفق عَلَيْهِ
Bermaksud;
Sentiasa(berterusan) Jibril a.s berpesan kepada ku (supaya berbuat baik) dengan jiran sehingga aku pun menyangka bahawa jiran akan saling mewarisi.
(HR: Muttafaqun alaih: Mirqaatul mafaateh, no. Hadis: 4963, Kitab al Adab:jilid 7)
Dalam satu hadis lain Rasulullah telah memberikan contoh perbuatan yang tidak boleh dilakukan kerana meretakkan hubungan sesama jiran seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda;
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: " «لَا يَمْنَعْ جَارٌ جَارَهُ أَنْ يَغْرِزَ خَشَبَةً فِي جِدَارِهِ» ". مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Bermaksud;
Jangan seseorang kamu melarang jirannya untuk meletakkan kayu di tembok rumahnya (dinding). (HR: Muttafaqun alaih, no. Hadis: 2973/kitab Misykaat al Masobeh, kitabul Adab: jilid 5)
أجمع العلماء على المنع من وضع خشب الجار على جدار جاره مع وجود الضرر إلا بإذنه لقوله عليه الصلاة والسلام: " لا ضرر ولا ضرار ".
واختلفوا فيما إذا لم يكن على صاحب الجدار ضرر، وكان بصاحب الخشب حاجة إلى ذلك، بأن لا يمكنه التسقيف إلا به.
“Para ulama sepakat akan larangan seseorang meletakkan kayu di atas tembok atau dinding rumah jirannya jika terdapat kemudharatan, kecuali si jirannya mengizinkan perbuatan tersebut berdasarkan hadis yang bermaksud “tidak ada kemudharatan (dalam Islam) dan tidak boleh menimbulkan kemudharatan. (HR: Imam ibn Majah daripada Ubadah ibn Shamit r.a, no. Hadis: 2340).
Kemudian para ulama berselisih pendapat jika meletakkan kayu itu tidak menimbulkan kemudharatan kepada jiran si tuan rumah atau tembok dinding. Sedang memang jiran si pemilik kayu perlu meletakkan kayunya untuk tujuan membina bumbung rumahnya.
ذهب الأئمة الثلاثة، أبو حنيفة،: مالك، والشافعي في المشهور عنهم إلى أنه لا يجوز وضع الخشب على حائط الجار إلا بإذن صاحب الجدار وإن لم يأذن، فلا يجبر عليه.
Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie masih mensyaratkan keizinan tuan rumah untuk meletakkan kayu.
Sekiranya tuan rumah tidak mengizinkan, dia tidak boleh dipaksa.
Berbeza dengan Imam Ahmad dan ulama yang sependapat dengan beliau yang membenarkan penggunaan tembok dinding untuk digunakan jiran dan boleh dipaksa untuk memberikan kebenaran berkaitan perkara tersebut jika tuan rumah enggan. (Taisirul Allam Syarah Umdatul Ahkam)
Kesimpulannya hadis di atas menerangkan berkenaan dengan kewajipan bergaul dengan baik sesama jiran. Saling tolong menolong untuk mendapatkan manfaat , juga saling menahan diri daripada mewujudkan sengketa dan kemudharatan.
Tidak boleh seseorang jiran untuk membina sesuatu yang boleh menghalang cahaya atau angin ke rumah jirannya. Tidak boleh juga membuat tingkap yang langsung boleh nampak ke dalam rumah jiran. (Dr Wahbah Zuhaili Allahu yarhamuh, Fiqh Islami wa Adillatuh: ms 29:jilid 4)
Menjaga Hak sesama jiran;
(sebahagiannya: Rub’u al Adat, Minhajul Qashidin, Ibn Qudamah al Maqdasi)
1. Tidak mengganggu jiran
2. Bersabar dengan kerenah jiran
3. Sentiasa mulakan untuk berbuat baik
4. Sentiasa mulakan untuk mrmberi salam
5. Jangan bersembang terlalu lama
6. Ziarah bila sakit
7. Mengucapkan takziah bila ditimpa musibah
8. Ucap tahniah dengan kegembiraan jiran
9. Beri kemaafan akan kesalahannya
10. Tidak mengganggunya dengan meletakkan sesuatu dalam kawasan rumahnya atau di atas tembok rumahnya (permasalahan di atas dengan khilaf ulama)
11. Jangan mengintip jiran
Dan lain lain lagi..
والله أعلى واعلم
والعفو منكم
Disediakan oleh Ustaz Abd Aziz lutfi
0 Comment "Adab Berjiran"
Post a Comment