Definisi Ringkas Akidah Islam
Dari Group Nota Aqidah Kita (ASWJ) MSO D22 - Perkongsian Ustaz اليسع
‘Aqidah (اَلْعَقِيْدَةُ) menurut bahasa Arab (etimologi) berasal daripada perkataan al-‘aqdu (الْعَقْدُ) yang bererti ikatan, al-tauthiqu (التَّوْثِيْقُ) yang bererti kepercayaan atau keyakinan yang kuat, al-ihkamu (اْلإِحْكَامُ) yang ertinya mengukuhkan (menetapkan), dan al-rabtu biquwwah (الرَّبْطُ بِقُوَّةٍ) yang bererti mengikat dengan kuat (Lisan al-‘Arab 9/311: عقد, Ibn Manzur (wafat th. 711 H) dan Mu’jam al-Wasit (2/614: عقد).
Perkataan akidah berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu ‘aqada bererti simpulan atau ikatan yang kemas seperti ikatan tali (Fairuz Abadi, 1987: 383-384). Ibn Faris (1991: 4/96) pula menyatakan bahawa akidah bermaksud kepercayaan yang kuat dan kukuh terhadap sesuatu.
Berdasarkan definisi tersebut, perkataan akidah dari sudut bahasa boleh difahami sebagai keyakinan dan kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kuat di dalam jiwa seseorang manusia sehingga tidak mungkin akan terurai. Kefahaman tersebut bertepatan penggunaannya dengan beberapa firman Allah SWT di antaranya ialah:
Maksudnya:
Dan orang-orang yang kamu telah bersumpah setia dengan mereka, maka berilah kepada mereka bahagiannya itu.
(al-Nisa’ (4): 33)
Manakala perkataan akidah Islam menurut istilah bermaksud keimanan terhadap Allah SWT, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat, Qada dan Qadar sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Jibril AS di atas (Riwayat Muslim). Akidah juga boleh diertikan sebagai perkara yang berkaitan dengan kepercayaan dan keyakinan di dalam hati sehingga jiwa menjadi tenang untuk beriman kepada-Nya kerana tiada lagi keraguan dan kesamaran terhadap Allah SWT (al-Banna, 1421H: 7). Malah Imam al-Ghazali (2005: 1/117) turut mendefinisikan akidah ialah berpegang teguh dan membenarkan di dalam hati dengan keyakinan yang pasti tanpa bercampur dengan sebarang keraguan sehingga tidak mengundang keresahan jiwa. Maka itu akidah Islam adalah berkaitan membenarkan dan mengimani kepada Allah SWT dan rasul-Nya tanpa sebarang persoalan dan keraguan. Dalam hal ini, akidah atau iman yang tulen berdasarkan pandangan Islam mestilah mengandungi ciri-ciri berikut:
1. Kepercayaan dan keyakinan itu mestilah berasaskan kefahaman minda dan ilmu yang mantap. Kemantapan ilmu itu pula diperolehi daripada sumber al-Quran dan hadis.
2. Kepercayaan dan keyakinan itu mestilah berada dalam keadaan yang cukup teguh sehingga ia tidak boleh menerima sebarang bentuk keraguan.
3. Kepercayaan dan keyakinan itu mestilah diikuti bersama dengan ketaatan atau kepatuhan hati serta penyerahan kemahuan untuk melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
4. Kepercayaan dan keyakinan itu mestilah berupaya menjadi pencetus segala aktiviti dan perlakuan pemiliknya, serta beriltizam melaksanakan prinsip-prinsip tingkah laku dan berjihad dengan seluruh jiwa dan raga (al-Maydani, 1979: 32-33 ; al-Qaradawi, 1977: 15-18).
والله أعلم
Klik link ini untuk join group Nota Aqidah:
https://telegram.me/aqidah_Islam
0 Comment "Definisi Ringkas Akidah Islam"
Post a Comment