PANDUAN HUKUM: SOLAT HARI RAYA (RINGKAS)

Disediakan oleh Ustaz Alyasak b. Berhan

Solat Aidul Fitri dan Aidul Adha telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Solat hari raya yang pertama yang dilakukan oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam adalah solat hari raya ‘Eidul fitri pada tahun kedua hijrah tersebut. Hukum melaksanakan solat ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut). Ini kerana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah baginda wafat
(Nihayah al-Muhtaj 385/2, Tuhfah al-Muhtaj 39/3).

Firman Allah Taala;
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)… (al-Kauthar: 2).

Diriwayatkan daripada Abi Sa’id al-Khudri radhiallahu ‘anhu yang menceritakan;
كَانَ النَّبِيُّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إلَى الْمُصَلَّى، وَأَوَّلُ شَيْء يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةَ، ثُمّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ ـ وَالنَّاسُ عَلَى صُفُوفِهِمْ ـ فَيَعِظُهُمْ وَيَأْمُرُهُمْ
“Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam pergi ke tempat solat pada hari raya Aidul Fitri dan Aidul Adha. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda adalah menunaikan solat. Kemudian baginda berpaling mengadap orang ramai yang masih berada dalam saf-saf mereka lalu baginda memberi peringatan dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka” (Riwayat al-Bukhari, no. 913; Muslim, no. 889).
Bermula waktu melaksanakan solat sunat hari raya adalah apabila terbitnya matahari pada hari raya iaitu ketika awal matahari terbit berbeza dengan pendapat al-Muzajjad di dalam Kitab al-‘Ubab yang mengatakan bahawa; bermulanya masuk waktu solat hari raya adalah ketika matahari telah terbit dengan sempurna. Hal ini adalah kerana, telah sedia maklum bahawa solat hari raya tidak termasuk dalam kategori solat-solat sunat yang ditegah untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang diharamkan. Oleh itu, tidak ditegah untuk melaksanakan solat hari raya pada waktu tahrim tersebut menurut pendapat Syeikh al-Ramli. Manakala menurut pendapat Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Khatib al-Syirbini pula, makruh melaksanakan solat hari raya sebelum matahari naik tinggi segalah. Waktu solat hari raya berakhir apabila tergelincir matahari dari tengah langit (masuk waktu zohor). Namun waktu terbaik melaksanakannya adalah ketika matahari naik tinggi segalah kerana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam sentiasa melakukannya pada waktu tersebut (Nihayah al-Muhtaj 387/2, Tuhfah al-Muhtaj 39-40/3, Mughni al-Muhtaj 462-463/1, al-Manhal al-Naddhokh 120).

Kaifiyyah Solat Hari Raya (Ringkas)
.
عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ فِي الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى فِي الْأُولَى سَبْعَ تَكْبِيرَاتٍ وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسًا ... سِوَى تَكْبِيرَتَيْ الرُّكُوعِ.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, dia berkata; "Bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat Aidul Fitri dan Aidul Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain daripada dua takbir rukuk." (Abu Daud, no. 970)
Diriwayatkan daripada ‘Amru bin ‘Auf al-Ansori radhiallahu ‘anhu menceritakan;
أن النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم كبر في العيدين في الأولى سبعاً قبل القراءة وفي الثانية خمساً قبل القراءة
“Sesungguhnya Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam bertakbir di dalam solat dua hari raya Aidul Adha dan Aidul Fitri); pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali sebelum membaca Surah al-Fatihah dan pada rakaat kedua sebanyak lima kali sebelum membaca Surah al-Fatihah.”(al-Tirmizi, no.536. Menurutnya; hadis ini hasan).
Zikir yang dianjurkan untuk dibaca di antara takbir-takbir tersebut adalah;
'سبحان الله والحمد لله ، ولا إله إلا الله والله أكبر'
Ianya adalah berdasarkan athar Ibn Mas'ud radhiallahu ‘anhu yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang jayyid (Asna al-Matolib 1/562).
Lafaz zikir inilah yang telah dipilih oleh majoriti para ashab. Bahkan menurut Imam al-Syafi’i, makruh hukumnya jika seseorang membaca takbir-takbir tersebut secara bersambungan tanpa diselangi dengan membaca zikir di antaranya (al-Majmuk 5/23).

Rakaat PERTAMA solat hari raya;
Takbiratul ihram & doa iftitah, kemudian;
1. Takbir & Zikir
2. Takbir & Zikir
3. Takbir & Zikir
4. Takbir & Zikir
5. Takbir & Zikir
6. Takbir & Zikir
7. Takbir & al-Fatihah + Surah Qaf@al-A'la
Rakaat KEDUA solat hari raya;
Takbir intiqolat, kemudian;
1. Takbir & Zikir
2. Takbir & Zikir
3. Takbir & Zikir
4. Takbir & Zikir
5. Takbir & al-Fatihah + Surah al-Qamar@al-Ghasyiah

Surah Yang Dibaca Oleh Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam Dalam Solat Hari Raya & Solat Jumaat
أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثِيَّ مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الأَضْحَى وَالْفِطْرِ فَقَالَ كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ وَاقْتَرَبَتْ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ .
" Sesungguhnya Umar bin al-Khattab radhiallahu ‘anhu telah bertanya kepada Abi Waqid al-Laithi tentang ayat apa yang dibaca oleh Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam dalam solat sunat Aidul Adha dan Aidul Fitri. Lalu dia menjawab "Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam membaca Surah Qaf & Surah al-Qamar dalam kedua-dua solat tersebut." (Muslim, no.891)
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ .
"Diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau telah berkata, "Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam membaca Surah al-A'la dan Surah al-Ghasyiah dalam kedua-dua solat raya dan solat Jumaat."(Muslim, no.878)
قال سمرة رضي الله عنه : "كان النبي صلى الله عليه وسلم يقرأ في العيدين (سبح اسم ربك الأعلى) ، (وهل أتاك حديث الغاشية))"
Samurah radhiallahu ‘anhu telah berkata, "Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam membaca Surah al-A'la dan Surah al-Ghasyiah dalam kedua-dua solat hari raya." (Ahmad dan lain-lain, Sahih al-Irwa' 116/3)
Wallahu a'lam



Juga rujuk artikel :
 1.Hukum Mengucapkan Tahniah di Hari Raya
 2.Takbir Raya
 3.Menggabungkan Puasa Qadha dan Enam Hari Bulan Syawal dengan Satu Niat


0 Comment "PANDUAN HUKUM: SOLAT HARI RAYA (RINGKAS)"

Post a Comment

Thank you for your comments