Status Hadith "Sembunyikan Cinta Mati Syahid"




Dari Group Telegram MSO-D1 : Bicara Hadith

Soalan:

Assalamualaikum, apa status hadis ini? “ Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian dia menyembunyikannya dan dia mati, maka matinya itu adalah syahid.”

Jawapan Ustaz Muslim:

"مَنْ عَشِقَ فَعَفَّ وَكَتَمَ ثُمَّ مَاتَ مَاتَ شَهِيدًا"

Hadis ini dikeluarkan oleh al Hakim (تاريخ نيسابور), al Khatib (تاريخ بغداد), Ibnu Asakir (تاريخ دمشق), Ibnu Adi (الكامل) dan lain lain daripada ibnu Abbas RA melalui perawi Suwaid bin Sa'id. Al Khatib (تاريخ بغداد) juga telah meriwayatkan daripada Aisyah RA melalui Suwaid yang sama.

Ulama khilaf mengenai status hadis ini. Ia telah dinilai palsu oleh ibnu al Jauzi (العلل) dan ibnu Qayyim (زاد المعاد، الداء والدواء، المنار، الطب). Manakala menurut Ibnu Adi (الكامل) dan ibnu Tahir (الذخيرة), ulama termasuk ibnu Ma'in menyatakan bahawa hadis ini antara yang mungkar daripada Suwaid bin Sa'id. Yahya bin Ma'in menilai Suwaid dengan teruk sekali. Diriwayatkan bahawa beliau ingin memerangi Suwaid jika mempunyai kuda dan tombak. Imam Ahmad bin Hanbal menilainya Matruk (ditinggalkan). Ibnu Hibban menyatakan wajib menjauhi riwayatnya.

Pada masa yang sama, Suwaid adalah perawi imam Muslim dalam sahihnya. Kata Abu Hatim, seorang yang benar (صدوق) tapi banyak tadlis. Ibnu al Mulaqqin (البدر المنير) menukil daripada Abdullah bin imam Ahmad, bahawa bapanya pernah menyuruh agar ditulis daripadanya hadis dhimam. Al Daruqutni juga menilainya thiqah yang buta pada akhirnya dan menerima talkin. Hal ini yang membuat al Hakim (التاريخ) kehairanan apabila Suwaid keseorangan meriwayatkan hadis ini padahal beliau thiqah. Periwayatan imam Muslim terhadap hadis  Suwaid juga menunjukkan beliau paling kurang hanya dhaif ringan yang boleh ditampung dengan sokongan (الشواهد والمتابعة).

Walaupun al Hakim (تاريخ نيسابور) menyatakan Suwaid bersendirian meriwayatkan hadis ini, terdapat jalur lain seperti berikut :

الزبير بن بكار، عَن عبد الْملك بن عبد الْعَزِيز الْمَاجشون، عَن عبد الْعَزِيز بن أبي حَازِم، عَن ابْن أبي نجيح، عَن مُجَاهِد، عَن ابْن عَبَّاسٍ مرفوعا

Jalur ini telah dikeluarkan oleh al Khatib (تاريخ بغداد), al kharaithi (اعتلال القلوب) dan turut dinukil oleh ibnu al Jauzi (العلل). Jalur ini menampung (المتابعة) jalur Suwaid yang dikatakan lemah atau mungkar.

Al Sakhawi (المقاصد الحسنة) menilai sanad jalur ini sebagai sahih. Ibnu al Mulaqqin (البدر المنير) pula menyatakan, ini jalur yang baik. Al Sakhawi telah mengulas panjang lebar hal ini dan telah dinukil oleh ramai tanpa sebarang komen. Antaranya al Ajluni (كشف الخفاء) dan Ali al Qari (الأسرار). Al Qari juga menolak status palsu hadis ini berpandukan ulasan al Sakhawi.

Namun, ibnu al Qayyim dan ibnu Hajar mempunyai pandangan yang berbeza mengenai jalur ini. Ibnu al Qayyim (الداء) mendakwa bahawa jalur ini adalah rekaan para pendusta hadis. Pada pandangan ibnu Hajar, jalur ini silap kerana ada perawi yang mencampurkan sanad hadis ini dengan sanad yang lain. Mungkin kerana ada sesuatu pada sanad ini, al Iraqi (المغني) berkata sanad al Kharaithi mempunyai perbahasan (فيه نظر).

Berdasarkan literatur di atas, penilaian palsu agak sukar. Manakala pendapat ibnu Hajar tidak dibuktikan dan mungkin berdasarkan telahan seorang al Hafiz. Selain daripada bercanggah dengan zahir sanad dan penilaian ulama hadis lain termasuk gurunya ibnu al Mulaqqin dan muridnya al Sakhawi. Meraikan prinsip berhati hati yang timbul daripada telahan ibnu Hajar, keraguan al Iraqi dan juga meraikan pendapat beberapa ulama mutakhirin yang mensahihkan, saya lebih cenderung kepada status dhaif sahaja. Bagaimanapun, pintu taklid kepada ijtihad pendapat yang mengatakan sahih atau mungkar masih terbuka luas.

Wallahualam

Ulasan Ustaz Khafidz Soroni:

Ana ada baca tashih al hafiz ahmad al ghumari trhadap hadis ni dlm risalah khas

والله أعلم

Klik link ini untuk join group Bicara Hadith:
https://telegram.me/bicara_hadithMSO

0 Comment "Status Hadith "Sembunyikan Cinta Mati Syahid""

Post a Comment

Thank you for your comments