Wirid Qushāshī atau Madanī [dan Tambahan Asas Yang Biasa Diamalkan*]
Semoga bermanfaat
<<<<< >>>>>
Wirid Qushāshī atau Madanī Selepas Solat Fardu: Amalan Yang Sebati dengan Masyarakat Melayu
Wirid selepas solat yang banyak diamalkan oleh para ulama’ Melayu dan tersebar luas di kalangan umat Islam Tanah Melayu (khususnya selepas solat Subuh dan Mahgrib dan diamalkan dengan ringkas selepas Zohor, Asar dan Isyak) ini dikenali sebagai al-Awrad al-Qushāshiyyah atau al-Madaniyyah [dengan sedikit penambahan yang tidak menjejaskan susunan wirid yang asal].
Wirid ini pada asalnya dihimpunkan dan disusun oleh seorang ulama’ besar Madinah iaitu al-Imām al-ʿAllāmah al-Faqīh al-ʿĀrif billāh Ṣafiyy al-Dīn al-Imām Aḥmad bin Muḥammad bin Yūnus al-Ḥusaynī al-Anṣārī al-Dajānī al-Madanī al-Qushashī. Beliau merupakan wali Allah yang masyhur, ahli sufi dan ulama’ besar Madinah yang menguasai pelbagai disiplin ilmu dan memberi fatwa bagi dua mazhab: Maliki dan Syafie. Beliau dilahirkan di Madinah pada 12 Rabiul Awwal 991 Hijrah dan wafat di sana juga pada akhir tahun 1071 Hijrah dan dikebumikan di permakaman al-Baqīʿ yang masyhur [Rujuk Biografi beliau selepas ini].
Beliau mengambil wirid-wirid selepas solat ini daripada para guru beliau yang merupakan para ulama’ Madinah ketika itu. Oleh kerana itu, wirid ini juga dikenali sebagai al-Awrad al-Madaniyyah (wirid-wirid ulama’ Madinah). Beliau mempunyai ramai pelajar di kalangan para ulama’ Melayu yang belajar di Mekah dan Madinah. Salah seorang murid beliau, al-Shaykh Abdul Rauf Singkel (w.1105H/1693M) dari Acheh telah menyusun wirid-wirid ini di dalam dua kitabnya yang bertajuk:
[i] ʿUmdat al-Muḥtājīn ilā Sulūk Maslak al-Mufarridīn.
[ii] Tanbīh al-Māsḥī al-Mansūb ilā Ṭariq al-Qushāshī.
Wirid ini juga dinukilkan di dalam kitab-kitab para ulama’ Melayu yang lain.
Al-Awrād al-Qushāshiyyah atau al-Madaniyyah ini tersebar di dalam masyarakat Islam Melayu dan diamalkan oleh ramai ulama’ kita dan diwarisi daripada satu generasi ke generasi yang lain sehingga ke hari ini, dengan sedikit tambahan yang tidak menjejaskan kerangka asalnya.
Sesungguhnya wirid ini pada hakikatnya disusun berdasarkan pelbagai riwayat hadis Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan memiliki keberkatan dan fadilat yang sangat besar.
Penulis masih tertanya-tanya:
apakah "rahsia" dan "hikmah" di sebalik ketentuan Allah bagi sambutan dan penerimaan ulama’ Melayu dan masyarakatnya untuk mengamalkan wirid zikrullah ini secara meluas sedangkan wirid ini dahulunya merupakan amalan para ulama’ Madinah?.
Dan setelah melihat amalan majlis-majlis zikir yang ada di Malaysia, salah seorang guru penulis iaitu al-Shaykh Hasan al-Yamani (kami belajar kitab Bustan al-Arifin karangan al-Imam al-Nawawi dengan beliau), pernah berkata: Aku melihat masyarakat Melayu di Malaysia ini seumpama para ahli sufi kesemuanya. Dan jika ada kamera dan TV pada zaman para Sahabat, kamu akan melihat beginilah amalan mereka. (Majlis Zikir)
Ya Allah, kekalkanlah dan tambahkanlah nikmat-nikmat ini ke atas kami dan janganlah Engkau mencabutnya daripada kami.
Segala pujian hanyalah bagi-Mu.
(Feed generated with FetchRSS)
source https://www.facebook.com/680496500528871/posts/938860308025821
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comment "Photos from Penuntut Ilmu's post"
Post a Comment