BAPA KANDUNG NABI IBRAHIM عَلَيْهِ السَّلَامُ IALAH SEORANG YANG BERIMAN DAN BUKAN PENGUKIR BERHALA [Dalil Pertama] Al-Quran [A...

BAPA KANDUNG NABI IBRAHIM عَلَيْهِ السَّلَامُ IALAH SEORANG YANG BERIMAN DAN BUKAN PENGUKIR BERHALA

[Dalil Pertama] Al-Quran [Ayat 41, Surah Ibrāhīm]

Al-Imām al-Suyūṭi (w.911H) - sebagai pentahqiq di dalam masalah ini - menerangkan di dalam risalah fatwanya "Maṣalik al-Ḥunafā fī Wālidayy al-Muṣṭafā صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ" bahawa doa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ di dalam ayat 41 dari surah Ibrāhīm, iaitu:

(( رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ ))

"Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi KEDUA IBU BAPAKU...”

hanya dilakukan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ di Mekah setelah lima puluh tahun lebih (50+) kematian Āzar (bapa saudaranya) di atas kesyirikan dan peristiwa beliau dicampak ke dalam api yang sangat marak.

Setelah kematian Āzar dan peristiwa pembakaran tersebut, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ keluar berhijrah dari Babylon (Bābil) ke Syam, kemudian ke Mesir, kemudian kembali ke Syam, dan seterusnya ke Mekah membawa Saidatina Hājar dan anaknya Nabi Ismāʿīl عَلَيْهِ السَّلَامُ. Dan beliau berdoa buat IBU BAPANYA (wālidayy) ketika di MEKAH.

[1]

Al-Imām al-Suyūṭi (w.911H) berkata (Jil. 2/2, hal. 260):

فَاسْتَغْفَرَ لِوَالِدَيْهِ وَذَلِكَ بَعْدَ هَلَاكِ عَمِّهِ بِمُدَّةٍ طَوِيلَةٍ، فَيُسْتَنْبَطُ مِنْ هَذَا أَنَّ الذِّكْرَ فِي الْقُرْآنِ بِالْكُفْرِ وَالتَّبَرِّي مِنَ الِاسْتِغْفَارِ لَهُ هُوَ عَمُّهُ لَا أَبُوهُ الْحَقِيقِي، فَلِلَّهِ الْحَمْدُ عَلَى مَا أَلْهَمَ

“Maka beliau (Nabi Ibrāhīm عَلَيْهِ السَّلَامُ) memohon keampunan bagi kedua-dua ibu bapanya (wālidayh) [di Mekah], dan ini dilakukan setelah kematian bapa saudaranya (ʿammih) dalam tempoh yang panjang.

Maka dapat diistinbatkan dari [ayat] ini bahawa sesungguhnya kenyataan di dalam Al-Quran berkenaan kekufuran dan pelepasan diri [oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ] dari beristighfar untuknya (Āzar) adalah merujuk kepada bapa saudaranya, dan bukanlah bapanya yang hakiki/ sebenar/ kandung.

Segala puji bagi Allah di atas [kefahaman] yang telah Dia ilhamkan (kurniakan).”

[2]

Ini adalah kerana sebagai Nabi yang maksum, adalah MUSTAHIL DARI SUDUT SYARAK bagi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ untuk melanggar larangan Allah ke atasnya bagi mendoakan keampunan bagi Āzar yang telah jelas kekufurannya.

Dengan ini, jelaslah bahawa lafaz wālidayy (ibu bapaku) yang disebut oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ dalam doa (istighfar) beliau di Mekah bukanlah merujuk kepada Āzar, tetapi kepada bapanya yang sebenar iaitu Tāraḥ atau Tayraḥ bin Shārūkh bin Nāḥūr bin Fālikh.

Jika tidak, ini bermakna beliau telah melanggar larangan Allah ke atasnya sebelum ini, dan ia adalah MUSTAHIL DARI SUDUT SYARAK.

[3]

Al-Imām al-Suyūṭi juga menyebut bahawa jarak masa di antara peristiwa pembakaran di Babylon dan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ di Mekah ialah sekitar lima puluh tahun lebih. Beliau berkata (Jil. 2/2, hal. 260):

فَعُرِفَ مِنْ هَذَيْنِ الْأَثَرَيْنِ أَنَّ بَيْنَ هِجْرَتِهِ مِنْ بَابِلَ عَقِبَ وَاقِعَةِ النَّارِ وَبَيْنَ الدَّعْوَةِ الَّتِي دَعَا بِهَا بِمَكَّةَ بِضْعًا وَخَمْسِينَ سَنَةً

“Maka dapat diketahui dari dua athar ini (al-Kalbī dan al-Wāqidī) bahawa sesungguhnya jarak tempoh masa di antara hijrah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ keluar meninggalkan Babylon setelah peristiwa beliau dicampak ke dalam api dan doa beliau عَلَيْهِ السَّلَامُ di Mekah ialah sekitar lima puluh tahun lebih (50+).”

[4]

Dan terdapat satu laṭīfah yang sangat halus berkenaan satu-satunya sebutan nama Āzar di dalam Al-Quran ketika disandarkan lafaz Ab (abīhi) kepada Nabi Ibrāhīm عَلَيْهِ السَّلَامُ di dalam ayat 74 dari surah al-Anʿām sedangkan bukanlah satu kebiasaan di dalam Al-Quran untuk menyebut nama bapa seorang Nabi.

Ini adalah kerana lafaz Ab di dalam bahasa arab boleh digunakan bagi bapa kandung (wālid), datuk (jadd) dan bapa saudara (ʿamm).

Maka dengan sebutan nama Āzar walaupun hanya sekali, jelaslah bahawa makna Ab yang dikehendaki ialah bapa saudara (ʿamm) dan bukannya bapa kandung (wālid) atau datuk (jadd).

Jika tidak disebut nama Āzar, maka makna bapa saudara (ʿamm) bagi kalimah Ab tidak akan menjadi jelas.

Laṭīfah ini telah dijelaskan oleh al-Shaykh Bassām Jarrār al-Falasṭīnī di sini: https://www.youtube.com/watch?v=vX8BBXxn0iQ

Dengan ini, makna lafaz wālidayy (kedua ibu bapaku) ketika doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ di Mekah dan lafaz Ab oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَامُ ketika Babylon adalah merujuk kepada dua individu yang berbeza.

Walḥamdulillāh.



(Feed generated with FetchRSS)

source https://www.facebook.com/680496500528871/posts/935990121646173

0 Comment "BAPA KANDUNG NABI IBRAHIM عَلَيْهِ السَّلَامُ IALAH SEORANG YANG BERIMAN DAN BUKAN PENGUKIR BERHALA [Dalil Pertama] Al-Quran [A..."

Post a Comment

Thank you for your comments