FITNAH-FITNAH YANG PERNAH MELANDA SUNNAH NABAWIYYAH: DAHULU DAN MASA KINI

FITNAH-FITNAH YANG PERNAH MELANDA SUNNAH NABAWIYYAH: DAHULU DAN MASA KINI

Prof. Dr. Khalīl Ibrāhīm Mullā Khāṭir al-ʿAzzāmī (1426H), seorang profesor dalam bidang hadis dan ʿulumnya di Universiti Ṭaybah, Madīnah al-Munawwarah, menyenaraikan secara ringkas beberapa fitnah yang pernah melanda Sunnah Nabawiyyah, di dalam kertas kerjanya bertajuk “Khuṭūrat Muṣawāt al-Ḥadīth al-Ḍaʿīf bi al-Mawdūʿ” [Terjemahan: Bahaya Menyamakan Hadis Ḍaʿīf dengan Hadis Palsu].

[1]

Sebahagian pihak daripada Quraysh pernah mempertikaikan perbuatan ʿAbdullāh Ibnu ʿAmr رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا menulis semua sabdaan Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dengan alasan Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ adalah “seorang manusia yang mungkin berbicara dalam keadaan marah dan redha.”

Namun begitu, mereka telah menarik semula pandangan mereka apabila Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda [sambil Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ memberi isyarat kepada mulut Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ yang mulia]:

اكْتُبْ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ

“Tulislah [wahai Ibnu ʿAmr]. Demi [Allah] yang nyawaku di dalam kekuasaan-Nya, tidak keluar sesuatu apa pun daripadanya– melainkan kebenaran (al-ḥaqq).”

[Riwayat Imam Abū Dāwūd, Imam Aḥmad dan lain-lain]

[2]

Kemudian, pada akhir kurun kedua Hijrah, muncul beberapa golongan manusia daripada kalangan orang-orang zindiq, muktazilah, bāṭiniyyah, rāfiḍah dan khawārij, dan kebanyakan mereka berpusat di Baṣrah, Iraq, yang menolak Sunnah Nabawiyyah secara total dan mereka tidak berpegang melainkan dengan Al-Quran.

Dalam masa yang sama, muncul juga golongan yang menolak hadis āḥād sebagai hujah di dalam Syariah.

Al-Imām al-Shāfiʿī telah menolak kedua-dua golongan ini di dalam penulisan beliau. Walḥamdulillāh.

[3]

Kemudian, muncul lagi di zaman-zaman akhir pada masa al-Imām al-Ḥāfiẓ al-Suyūṭī golongan zindiq baru yang menolak Sunnah Nabawiyyah secara total. Lalu al-Imām al-Suyūṭī mengarang risalah beliau bertajuk “Miftāḥ al-Jannah fi al-Iḥtijāj bi al-Sunnah.”

[4]

Kemudian, muncul pelbagai fitnah yang melanda Sunnah Nabawiyyah di zaman kita ini seperti:

[i] Golongan yang merendahkan kedudukan Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan berusaha menafikan kemuliaan Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. Bagi mereka, Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ hanyalah seumpama markaz (pusat) bagi agama ini.

[ii] Golongan yang menyeru kepada Al-Quran semata-mata tanpa Al-Sunnah (Anti Hadis).

Sebagai contoh, golongan yang menamakan diri mereka sebagai Ahl al-Qurʾān atau al-Qurʾāniyyin di India yang mengingkari Sunnah Nabawiyyah secara total.

[iv] Sebahagian mereka cuba menimbulkan syak-wasangka terhadap Al-Sunnah sebagai wahyu.

[v] Ada di kalangan mereka yang mengingkari khabar āḥād.

[vi] Ada di kalangan mereka yang mengingkari Sunnah Qawliyyah dan hanya mengambil Sunnah Fiʿliyyah yang mutawātir sahaja.

[vii] Ada di kalangan mereka yang mengkritik (mencaci) Ṣaḥīḥ al-Bukhārī dan Ṣaḥīḥ Muslim.

[viii] Ada di kalangan mereka yang mengkritik (mencaci) para Sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ.

[ix] Ada di kalangan mereka yang mengkritik (mencaci) kitab-kitab Sunnah Nabawiyyah dengan alasan kitab-kitab ini tidak dihimpunkan melainkan pada pertengahan kurun ketiga Hijrah.

[x] Ada di kalangan mereka yang mengkritik (mencaci) al-Imām al-Bukhārī.

[xi] Ada di kalangan mereka yang mengkritik (mencaci) sanad [dan kepentingannya].

[xii] Ada di kalangan mereka yang menyamakan hadis-hadis ḍāʿīf dengan hadis-hadis mawḍūʿ (palsu).

Berkenaan hal ini, beliau berkata:

وَمِنْ آخِرِ مَا ظَهَرَ فِي زَمَانِنَا هَذَا: مَنْ أَنْكَرَ الْحَدِيثَ الضَّعِيفَ وَجَعَلَهُ مُسَاوِيًا لِلْمَوْضُوعِ، كَمَا رَسَمُوا طُرُقًا لِلتَّصْحِيحِ وَالتَّضْعِيفِ مُغِايِرَةً لِمَا عَلَيْهِ عُلَمَاءُ الْأُمَّةِ وَمُحَدِّثُوهَا رَحِمَهُمُ اللُه تَعَالَى.

“Dan di antara fitnah terbaru [terhadap Sunnah Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ] yang muncul di zaman kita ini ialah:

Golongan yang mengingkari hadis ḍaʿīf, dan menyamakannya dengan hadis palsu.

Dan mereka juga mencorakkan jalan-jalan untuk mentaṣḥīḥ dan mentaḍʿīfkan hadis dengan cara yang berbeza dengan kaedah ulama’ [ASWJ] umat ini dan para Muhaddith mereka - semoga Allah merahmati mereka semua.”

<<<<< >>>>>

Kertas kerja ini merupakan kertas penyelidikan yang dibentangkan di “al-Nadwah al-ʿIlmiyyah al-Dawliyyah al-Thāniyah” berkenaan “al-Ḥadīth al-Sharīf wa Tahaddiyāt al-ʿAṣr” yang dianjurkan oleh Kuliah Pengajian Islam dan Arab di Dubai pada 17-19 Safar 1426H.

PENUNTUT ILMU - Manhaj Ilmu Hadis



(Feed generated with FetchRSS)

source https://www.facebook.com/680496500528871/posts/978636347381550

0 Comment "FITNAH-FITNAH YANG PERNAH MELANDA SUNNAH NABAWIYYAH: DAHULU DAN MASA KINI"

Post a Comment

Thank you for your comments