Kemunculan Karrāmiyyah (Mujassimah) dan Fitnahnya Yang Melanda Mazhab Hanbali
<<<<< >>>>>
Ajaran Karrāmiyyah (Mujassimah) mula muncul pada separuh pertama dari kurun ketiga Hijrah. Karrāmiyyah adalah sebuah mazhab Tajsim yang diasaskan oleh Muḥammad bin Karrām al-Sijistānī, juga dikenali sebagai Ibnu Karrām.
Ibnu Karrām sempat hidup di zaman al-Imam Aḥmad bin Ḥanbal (w.241H) dan dia berpura-pura sebagai salah seorang pengikut mazhab Imam Ahmad.
Namun, setelah kewafatan Imam Ahmad pada tahun 241 Hijrah, Ibnu Karrām mula menyebarkan fahaman Tajsim dan Tashbih di kalangan pengikut Imam Ahmad sehingga mazhab Imam Ahmad terjejas dengan fitnah ini.
Hakikat ini telah diterangkan dengan jelas oleh al-Imam Taqiyy al-Din al-Hisni al-Shafiʿi (w.829H) di dalam kitabnya “Dafʿ Shubah Man Shabbah wa Tamarrad wa Nasab Dzālik ilā al-Sayyid al-Jalīl al-Imām Aḥmad”. (Gambar 1)
Ibnu Karrām dan pengikutnya menggunakan helah dengan menzahirkan kesungguhan mendengar hadith. Mereka banyak menyebut hadith-hadith mutashabihat dan menghimpunkannya serta membacakannya kepada masyarakat awam.
Sebahagian ulama’ yang mula sedar tentang muslihatnya mula berusaha menghalangnya sehingga dia dipenjarakan selama lapan tahun. Kemudian, para pengikutnya berjaya mengeluarkannya dari penjara dan dia kemudiannya pergi ke Syam dan akhirnya meninggal di sana. Ibnu Karrām dan para pengikutnya menzahirkan diri mereka dengan banyak beribadah dan zuhud.
Ibnu Karrām juga pernah melazimi al-Juwaybārī dan Ibnu Tamīm yang - dianggarkan oleh al-Hāfiẓ al-Dzahabī - telah mencipta seratus ribu (100,000) hadith palsu. (Siyar Aʿlām al-Nubala’).
Ibnu Karrām meninggal dunia pada tahun 255 Hijrah.
Pengasas Karrāmiyyah ini juga telah menyebabkan penyerapan fitnah Tajsim ke dalam mazhab Hanbali sehingga munculnya satu kelompok Hanabilah yang dipanggil oleh ulama’ sebagai Ḥanābilah Mujassimah atau Hashwiyyah atau Ghulat al-Ḥanābilah.
Fitnah ini telah menjejaskan nama baik dan reputasi mazhab Hanbali dengan teruk.
Fitnah ini telah disebut oleh salah seorang tokoh besar mazhab Hanbali iaitu al-Imām al-Hafiz Ibn al-Jawzi al-Hanbali (w597H) di dalam kitab beliau “Dafʿ Shubah al-Tashbīh bi Akaff al-Tanzīh” [Menolak Shubhat-shubhat Aqidah Tashbih dengan Sekuat-kuat Aqidah Tanzih]. (Gambar 2)
Beliau menyebut (hal.10):
لَقَدْ كَسَيْتُمْ هٰذَا الْمـَذْهَبَ شَيْنًا قَبِيحًا، حَتَّى صَارَ لَا يُقَالُ عَنْ حَنْبَلِيٍّ إِلَّا مُجَسِّمٌ
“Sesungguhnya kamu [wahai Hanabilah Mujassimah] telah memakaikan mazhab [Hanbali] ini dengan pakaian (reputasi) yang sangat jijik/kotor, sehingga tidak disebut tentang seorang yang bermazhab Hanbali melainkan sebagai mujassim (menjisimkan tuhan).”
Al-Imam Taj al-Din al-Subki (w.771H) menyebut di dalam kitabnya “Qāʿidah fī al-Jarḥ wa al-Taʿdīl” (Gambar 3):
قَالَ بَعْضُ الْعَارِفِينَ – وَرَأَيْتُهُ بِخَطِّ الشَّيْخِ تَقِيِّ الدِّينِ بْنِ الصَّلَاحِ: إِمَامَانِ ٱبْتَلَاهُمَا اللهُ بِأَصْحَابِهِمَا وَهُمَا بَرِيئَانِ مِنْهُمْ: أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَل ٱبْتُلِيَ بِالْمـُجَسِّمَةِ، وَجَعْفَرٌ الصَّادِقُ ٱبْتُلِيَ بِالرَّافِضَةِ.
“Sebahagian para ʿārifīn telah berkata – dan aku telah melihatnya dengan tulisan [Imam] Taqiyy al-Dīn Ibnu al-Ṣalāḥ -:
Dua orang Imam yang telah diuji/diibtilā’kan oleh Allah dengan [sebahagian] para pengikut mereka berdua [yang sesat] sedangkan mereka berdua bebas dari [dakwaan] pengikut mereka itu, iaitu:
[1] [Imam] Aḥmad bin Ḥanbal diuji dengan golongan Mujassimah (golongan yang menyifatkan Allah dengan sifat jisim seperti arah, tempat, saiz, suara, anggota, bergerak, berpindah dan lain-lain);
[2] dan [Imam] Jaʿfar al-Ṣādiq diuji dengan kaum Rāfiḍah (kaum Syiah ekstrim yang menolak/ mencaci para Sahabat Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ).”
“Mawsūʿah al-Firaq al-Muntasibah li al-Islām” (satu ensiklopedia firaq yang dihimpunkan oleh golongan Wahhabiyyah masakini) [Jil. 3, hal. 143] (Gambar 4) menyatakan bahawa Ibnu Taimiyyah menganggap Ibnu Karrām sebagai:
من أئمة النظار المنتسبين إلى أهل السنة والجماعة
“[salah seorang] tokoh-tokoh perdebatan yang dinisbahkan kepada Ahli Sunnah Wal Jama’ah,” [[???!!!]] tetapi dianggap daripada kalangan Ahli al-Ra’y.
Dan:
موافقة ابن كرام لأهل السنة أعظم من موافقة المعتزلة والرافضة
“kesepakatan Ibnu Karrām dengan Ahli Sunnah lebih besar [???!!!] berbanding kesepakatan Muktazilah dan [Syiah] Rāfiḍāh [dengan Ahli Sunnah].”
Ini bukanlah perkara yang menghairankan kerana Ibnu Taimiyyah sememangnya dilihat bersikap tasāhul terhadap lawannya daripada golongan Mujassimah dan Mushabbihah walaupun bersikap tashaddud terhadap lawannya daripada kalangan yang lain. (Prof. Dr. Nūr al-Dīn Abū Liḥyah).
<<<<< >>>>>
Di antara iktikad sesat golongan Mujassimah Karrāmiyyah ialah:
- Allah itu menetap/ berada (mustaqirr) di atas (fawqiyyah) Arash.
- Arash adalah tempat (مكان) bagi Allah.
- Allah mempunyai arah atas (jihat al-‘uluww). Mereka adalah ahli bid’ah pertama yang membuat dakwaan ini (jihawiyyah).
- Allah itu suatu jisim tetapi tidak seperti jisim-jisim yang lain.
- Allah itu jisim yang mempunyai hadd (batasan) dan nihayah (penghujung) (saiz).
- Boleh berlaku hawadith (perkara baru) pada zat Allah.
- Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para Nabi عليهم الصلاة والسلام boleh melakukan dosa-dosa besar selain dari berbohong atau berdusta dalam menyampaikan wahyu.
- Iman itu hanyalah pengakuan dengan lidah, tidak termasuk iktikad di hati dan amalan dengan tubuh badan.
- Harus mencipta hadis palsu dalam bab targhib (menggalakkan orang ramai untuk beramal soleh) dan tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat dan dosa).
Sebahagian iktikad-iktikad sesat ini masih disebarkan sehingga ke hari ini oleh sebahagian pengikut Wahhabiyyah.
Semoga Allah memelihara kita, ahli keluarga kita dan keturunan kita dari fitnah Karrāmiyyah yang amat sesat ini.
PENUNTUT ILMU
(Feed generated with FetchRSS)
source https://www.facebook.com/680496500528871/posts/970116568233528
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comment "Photos from Penuntut Ilmu's post"
Post a Comment