Al-Imām Ibnu Ḥajar al-Haytamī (w.973H):

Al-Imām Ibnu Ḥajar al-Haytamī (w.973H):

Kesepakatan Ulama’ Berkenaan Keharusan Beramal Dengan Hadis Ḍaʿīf Dalam Faḍāʾil (Fadilat Amalan)

<<<<< >>>>>

Tokoh besar ulama’ mazhab Syafie, al-Imām al-Faqīh Shaykh al-Islām Shihāb al-Dīn Abū al-ʿAbbās Ibnu Ḥajar al-Haytamī al-Makkī (w.973H) menyebut di dalam kitabnya al-Fatḥ al-Mubīn bi Sharḥ al-Arbaʿīn (al-Nawawiyyah), Jil. 1, hal.109:

قَدْ اتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى جَوَازِ الْعَمَلِ بِالْحَدِيثِ الضَّعِيفِ فِى فَضَائِلِ الْأَعْمَالِ؛ لِأَنَّهُ إِنْ كَانَ صَحِيحًا فِى نَفْسِ الْأَمْرِ، قَدْ أَعْطَى حَقَّهُ مِنَ الْعَمَلِ بِهِ، وَإِلَّا لَمْ يَتَرَتَّبْ عَلَى الْعَمَلِ بِهِ مَفْسَدَةُ تَحْلِيلٍ وَلَا تَحْرِيمٍ وَلَا ضِيِاعُ حَقٍّ لِلْغَيْرِ

“Sesungguhnya para ulama’ telah bersepakat berkenaan keharusan beramal dengan hadis ḍaʿīf di dalam fadilat-fadilat amalan; kerana sekiranya ia adalah ṣaḥīḥ pada hakikatnya, maka [pengamalnya] telah melaksanakan haknya dengan beramal dengan hadis tersebut.

Dan sekiranya tidak, maka pengamalan hadis tersebut tidak menyebabkan berlakunya kerosakan menghalalkan [yang haram] dan tidak juga mengharamkan [yang halal] dan tidak juga mengabaikan hak orang lain.”

Manakala di dalam al-Fatāwā al-Ḥadīthiyyah, al-Imām Ibnu Ḥajar al-Haytamī (w.973H) menyebut, hal. 96:

وَلَا يضرُّ أَن فِي بعض أحاديثها ضعفا، لِأَن الحَدِيث الضَّعِيف والمرسل والمعضل والمنقطع يعْمل بِهِ فِي فَضَائِل الْأَعْمَال اتِّفَاقًا بل إِجْمَاعًا على مَا فِيهِ

“Dan tidaklah memudaratkan bahawa terdapat pada sebahagian hadisnya kelemahan, ini adalah kerana hadis ḍaʿīf, mursal, muʿḍal dan munqaṭiʿ itu diamalkan dengannya di dalam bab kelebihan-kelebihan amalan secara ittifāq (kesepakatan majoriti ulama’), bahkan secara ijmāʿ ke atas apa yang ada padanya.”

Al-Imām Ibnu Ḥajar al-Haytamī (w.973H) menegaskan lagi hakikat ini di dalam “Taṭhīr al-Jinān wa al-Lisān ʿan al-Khawḍ wa al-Tafawwuh bi thalb Sayyidinā Muʿāwiyah ibn Abī Sufyān”, hal. 13:

قلت : الذي أطبق عليه أئمتنا الفقهاء والأصوليون والحفاظ أن الحديث الضعيف حجة في المناقب كما أنه بإجماع من يعتد به حجة في فضائل الأعمال ، وإذا ثبت أنه حجة في ذلك لم تبق شبهة لمعاند ومطعن لحاسد بل وجب على كل من فيه أهلية أن يقر هذا الحق في نصابه وأن يرده إلى إهابه، وأن لا يصغى إلى ترهات المضلين ونزعات المبطلين

“Aku berkata:

“Perkara yang telah dipersetujui dengan keseluruhannya oleh imam-imam kita dari kalangan fuqahāʾ (ulama’ fiqh), uṣūliyyūn (ulama’ usul fiqh), dan ḥuffāẓ (ulama’ hadis berdarjat Ḥāfiẓ) bahawa sesungguhnya hadis ḍaʿīf itu merupakan hujah di dalam hal manāqib (keistimewaan dan sifat seorang tokoh) sepertimana hadis ḍaʿīf itu - dengan ijma’ para ulama’ yang diambilkira pandangannya – merupakan hujah di dalam fadilat-fadilat amalan.

Dan apabila telah tetap bahawa ia adalah hujah di dalam perkara tersebut, maka tidak lagi ada syubhat bagi mereka yang menafikannya dan tidak ada lagi tohmahan untuk si pendengki.

Bahkan, wajib ke atas setiap individu yang mempunyai kelayakan untuk memperakui kebenaran ini pada kedudukannya dan mengembalikannya kepada bekasnya.

Dan hendaklah dia tidak mendengar (mengambil kira) kebatilan orang-orang yang menyesatkan dan kecenderungan orang-orang yang membatalkan kebenaran.”

<<<<< >>>>>

PENUNTUT ILMU - Manhaj Ahli Sunnah Wal Jama'ah Berkenaan Hadis Ḍaʿīf

Insya Allah - satu kursus SMART TALAQQI akan dianjurkan berkenaan isu ini. Afwan

(Feed generated with FetchRSS)

source https://www.facebook.com/680496500528871/posts/971048394807012

0 Comment "Al-Imām Ibnu Ḥajar al-Haytamī (w.973H):"

Post a Comment

Thank you for your comments