Dalil Kuat Menunjukkan Keharusan Takwil Ayat Mutasyabihat




Dari Channel Nota Tauhid (Aqidah ASWJ) ⭐️ MSO-D12

Dalil Kuat Menunjukkan Keharusan Takwil Ayat Mutasyabihat


Oleh : al-Syeikh al-Muhaddith Prof Dr al-Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas al-Maliki al-Hasani

Di sini kami bawakan satu hadith sahih sebagai satu hujah yang kuat terhadap keharusan takwil di samping dapat menjelaskan kesilapan yang diutaran secara pukul rata bahawa pendekatan takwil adalah batil. Sepatutnya ia memerlukan huraian yang menyeluruh di samping perlu dijelaskan juga bahawa terdapat beberapa nas yang jelas ditakwilkan oleh para ulama. Mereka mentafsirkan nas tersebut bukan lagi dengan maksud zahirnya.

Di samping itu, Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah menjelaskan perkara ini menerusi sabdanya :

وعنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن الله عز وجل يقول يوم القيامة يا ابن آدم مرضت فلم تعدني قال يا رب كيف أعودك وأنت رب العالمين قال أما علمت أن عبدي فلانا مرض فلم تعده أما علمت أنك لو عدته لوجدتني عنده يا ابن آدم استطعمتك فلم تطعمني قال يا رب كيف أطعمك وأنت رب العالمين قال أما علمت أنه استطعمك عبدي فلان فلم تطعمه أما علمت أنك لو أطعمته لوجدت ذلك عندي يا ابن آدم استسقيتك فلم تسقني قال يا رب كيف أسقيك وأنت رب العالمين قال استسقاك عبدي فلان فلم تسقه أما علمت أنك لو سقيته لوجدت ذلك عندي رواه مسلم

Terjemahan :

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman, wahai keturunan Adam, Aku Sakit kamu tidak menziarahiku. Keturunan Adam menjawab, wahai Tuhan, bagaimanakah aku boleh menziarahiMu sedangkan Engkau Tuhan sekalian alam ?
Maka Allah berfirman tidakkah kamu tahu ada hamba-Ku yang sakit tetapi kamu tidak menziarahinya. Tidakkah kamu tahu apabila engkau menziarahinya nescaya engkau akan dapati-Ku bersamanya.
Seterusnya Allah berfirman lagi, wahai keturunan Adam, Aku minta minuman tetapi kamu tidak memberinya.
Keturunan Adam menjawab, wahai Tuhan bagaimanakah aku mampu memberi minuman kepada-Mu sedangkan Engkau Tuhan seru sekalian alam ?
Allah berfirman, tidakkah kamu tahu ada hamba-Ku yang meminta air tetapi kamu tidak memberinya? TIdakkah kamu tahu, jika kamu memberinya, nescaya kamu akan dapati pemberianmu itu di sisi-Ku ?
Wahai Keturunan Adam, Aku minta makanan tetapi kamu tidak memberi.
Keturunan Adam menjawab, wahai Tuhan bagaimanakah aku mampu memberi makanan kepada-Mu sedangkan Engkau Tuhan seru sekalian alam ?
Allah berfirman, tidakkah kamu tahu ada hamba-Ku yang meminta makanan darimu tetapi kamu tidak memberinya ? Tidakkah kamu tahu, jika kamu memberinya, nescaya kamu akan dapati pemberianmu itu di sisi-Ku ?

Ini teks hadith yang datang menerusi riwayat al Asyyab. Menerusi riwayat Zayd bin al Hubab pula dengan maksud yang sama Rasulullah bersabda : فلو عدته لوجدت ذلك عند . Di akhir nukilan hadith ini ada disebut dan direkodkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya menerusi riwayat Bahz bin Asad daripada Hammad. Disebut juga bahawa ia adalah firman Allah subahanahu wa ta'ala pada hari kiamat.

Imam al Baihaqi mengulas, pertanyaan hamba Allah mengenai lafaz-lafaz yang kabur maksudnya di dalam hadith di atas merupakan dalil bagi keharusan bertanya kepada yang lebih mengetahui jika lafaz-lafaz itu masih mempunyai ruang untuk difahami sehingga maksudnya menjadi jelas. Di samping itu, hadith di atas juga menunjukkan bahawa maksud sebenar bagi sesuatu lafaz terkadang bukan maksud dimanifestasikan oleh zahir lafaz.

Contohnya, Allah subahanahu wa Ta'ala menyebut bahawa Dia sakit, minta minuman dan makanan tetapi maksud sebenar bagi yang sakit, yang meminta minuman dan makanan adalah para walinya seperti firman Allah subahanahu wa Ta'ala

إِنَّمَا جَزَٲٓؤُاْ ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ

Sesungguhnya balasan mereka yang memerangi Allah dan Rasul-Nya.. (Surah al Maidah:33)


إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ

Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya... (Surah al Azhab :57)


إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ

Jika kamu menolong Allah, Allah pasti menolong kamu... (Surah Muhammad :7)

Maksud memerangi, menyakiti dan menolong Allah subahanahu wa Ta'ala menerusi semua ayat di atas ialah memerangi, menyakiti dan menolong para wali Allah subahanahu wa Ta'ala. Manakala maksud hadith, kamu akan dapati-Ku bersamanya pula ialah kamu akan dapati Rahmat dan pahala-Ku bersamanya. Bandingannya ialah firman Allah subahanahu wa Ta'ala,

وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُ ۥ فَوَفَّٮٰهُ حِسَابَهُ ۥ‌ۗ

Dia [orang kafir] tetap mendapati Allah di sisinya lalu Allah menyempurnakan hitungan amalannya. (Surah al-Nur:39)

"Dia mendapati Allah subahanahu wa Ta'ala di sisinya" bererti mendapati perhitungan dan balasan Allah Subahanahu Wa Ta'ala ke atasnya. [Lihat al Bayhaqi : Kitab al Asma' wa al Sifat, h.350]

Sumber Rujukan : al Syeikh al Muhaddith Prof Dr al-Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas al-Maliki al-Hasani, "Dialah Allah", cet 2014, Pelima Media Sdn Bhd, Selangor.
Nota Tauhid (Aqidah ASWJ) ⭐️ MSO-D12
http://telegram.me/aqidah_islam

0 Comment "Dalil Kuat Menunjukkan Keharusan Takwil Ayat Mutasyabihat"

Post a Comment

Thank you for your comments