Status Hadith "Ziarah Kubur Dapat Syafaat"



Dari Group Telegram MSO-D1 : Bicara Hadith

Soalan:

Assalam..tumpang tanya, betul ke ada hadis di bawah ini? :👇

Sabda Rasulullah S.A.W.. sesiapa yg dtg menziarahi kubur ku maka wajib ke atasnya mendapat syafaat ku.


Jawapan Ustaz Khafidz Soroni:

Ulama berselisih pendapat mengenai martabatnya antara palsu, daif dan sabit (yakni hasan atau sahih).

Syekh Ibn Taymiyyah dalam Majmu‘ al-Fatawa dan lain-lain karyanya mengatakan ianya palsu. Al-‘Uqayli menyatakannya tidak sahih. Al-Bayhaqi dalam Syu‘ab al-Iman pula mengulas, ia adalah munkar. Status ini disokong oleh Ibn ‘Abd al-Hadi dalam al-Sarim al-Munki. Ini disebabkan oleh kredibiliti Musa bin Hilal dan ‘Abdullah bin ‘Umar. Al-Nawawi dalam al-Majmu‘ menyatakan sebagai daif sanadnya.

Manakala yg menyatakan statusnya sabit;

‘Abd al-Haq al-Isybili memuatkannya di dalam kitab al-Ahkam al-Sughra dan al-Wusta tanpa sebarang komentar terhadap darjatnya, maka ia dikira sahih di sisinya. Al-Sindi dalam Hasyiah ‘ala Sunan Ibn Majah menukilkan daripada al-Damiri katanya: “Dua imam ini (iaitu ‘Abd al-Haq dan Ibn al-Sakan) telah mensahihkan hadis-hadis tersebut, dan pendapat mereka itu lebih utama diterima berbanding pendapat orang yang mengkritiknya”.

al-Hafiz Al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ dilihat menerima penilaian Ibn al-Sakan. Menurut al-Hafiz Ibn Nasir al-Din al-Dimasyqi dalam Salwah al-Ka’ib bi Wafat al-Habib: “al-Hafiz al-Dhiya’ Muhammad bin ‘Abd al-Wahid al-Maqdisi memasukkan hadis ini ke dalam kitabnya al-Ahadith al-Mukhtarah Mimma Laisa fi al-Sahihain yang menunjukkan beliau mensahihkannya”. Al-Suyuti menyatakan dalam Manahil al-Safa: Ianya mempunyai beberapa jalan riwayat dan syawahid yang kerananya ia dihukum hasan oleh al-Hafiz al-Zahabi. Meskipun dalam al-Jami‘ al-Saghir, al-Hafiz al-Suyuti mengisyaratkannya sebagai daif.

Berdasarkan himpunan jalan riwayatnya yang banyak, ia dikategorikan sebagai sabit oleh Jamal al-Din ibn Jumlah, Taqiy al-Din al-Subki dalam Syifa’ al-Saqqam, Ibn Hajar al-Haytami dalam al-Jawhar al-Munazzam, Syihab al-Din al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah, Muhammad bin Yusuf al-Salihi dalam Subul al-Huda wa al-Rasyad dan lain-lain. Menurut Imam al-Subki, matan hadis ini amat ringkas dan jelas, maka kemungkinan untuk berlaku kesilapan padanya agak jauh. Beliau turut membawakan riwayat-riwayat lain yang dapat menyokongnya, daripada riwayat ‘Umar RA, Anas RA, ‘Ali RA, Ibn ‘Abbas RA, Abu Hurairah RA, Hatib bin al-Harith RA, dan Bakr bin ‘Abdullah secara mursal.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir dilihat tidak memberi komentar terhadap rumusan Imam al-Subki. Al-Hafiz as-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah dan al-Hafiz al-Suyuti dalam al-Durar al-Muntatharah menukilkan daripada al-Hafiz al-Zahabi katanya: “Semua jalan-jalan riwayatnya lemah, tetapi ia dapat menguatkan antara satu sama lain kerana tiada terdapat dalam kalangan para perawinya orang yang dituduh berdusta”. Menurut Imam al-Munawi dalam Faid al-Qadir: “Secara ringkas, pendapat Ibn Taymiyyah ianya palsu adalah tidak tepat”.

والله  أعلم

Klik link ini untuk join group Bicara Hadith:
https://telegram.me/bicara_hadithMSO

0 Comment "Status Hadith "Ziarah Kubur Dapat Syafaat""

Post a Comment

Thank you for your comments