Hukum Berkongsi Lembu Untuk Ibadah Korban dan Aqiqah




Dari Group Usrah Solat : Q&A Ibadah (MSO-D7)

Soalan:

assalamualaikum ust nak tnya boleh tak campo orang membuat ibadah korban dan akikah dalam 1 lembu

Jawapan kami;

Berkongsi pada 7 bahagian daging bagi seekor lembu, kerbau atau unta untuk melaksanakan ibadah korban dan akikah hukumnya adalah harus.

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi;

"Harus berkongsi tujuh bahagian unta atau lembu untuk melakukan korban, sama ada semua mereka yang berkongsi itu dari rumah yang sama atau berbeza-beza, atau sebahagian mereka hanya inginkan daging (berbeza tujuan), maka memadailah untuk dibuat korban. Sama ada korban nazar atau sunat. Inilah mazhab kami (Syafi'i) dan pandangan Ahmad (Hanbali) demikian juga pendapat kebanyakan ulamak.” (al-Majmuk)

"Jika disembelih seekor lembu atau unta untuk tujuh orang bayi atau berkongsi sekumpulan orang pada seekor lembu/unta itu, hukumnya adalah harus, sama ada mereka semua menginginkan akikah (sama tujuan) atau sebahagian menginginkan akikah manakala sebahagian lagi inginkan dagingnya sahaja (berlainan tujuan) sepertimana yang telah lalu pada bab korban”(al-Majmuk).

Disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini;

“(Pengharusan perkongsian untuk 7 bahagian bagi seekor lembu atau unta ini) sama ada sama jenis ibadahnya ataupun berlainan, seperti contohnya apabila sebahagian mereka bertujuan untuk korban dan sebahagian lagi untuk al-Hady (daging yang dibawa ke tanah haram untuk disedekahkan). Demikian juga (harus berkongsi) jika sebahagian mereka inginkan daging untuk dimakan biasa dan sebahagiannya untuk korban (berlainan tujuan).” (Mughni al-Muhtaj).

Justeru, setiap bahagian daging tersebut hendaklah diurus mengikut tujuan masing-masing iaitu bahagian akikah hendaklah diuruskan mengikut tatacara akikah serta bahagian korban pula diuruskan mengikut tatacara korban dan seterusnya.

Wallahu a'lam.

Oleh Ustaz اليسع

USRAH SOLAT DAN Q&A IBADAH
https://telegram.me/usrah_solat_MSO
**Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i

0 Comment "Hukum Berkongsi Lembu Untuk Ibadah Korban dan Aqiqah"

Post a Comment

Thank you for your comments