Mandi Wiladah (bagi wanita)


Dari Group Usrah Solat : Q&A (MSO-D7)
Soalan:


assalamualaikum ustaz.
sy nak bertanya soalan boleh?
Saya ada terlihat post di fb yg mengatakan wajib mndi wajib pas wiladah dan x sama dgn mandi pas nifas. kira nya mandi 2 kali lah.  *dia kata knp kne buat mcm ni, sbb nye sekiranya kte ddtgi ajal dlm wktu tu, kte da berada dlm keadaan yg suci*
sy faham poin 👆 ni..  cuma sy nk tny, rasa2 sy pnh dgr dulu yg boleh sekali kan mandi wajib wiladah n nifas. tp sy x pasti.. jd mohon pencerahan dr ustaz y boleh ke x, ke kene buat 2 secara berasing (ikut org berpantng kan xboleh mndi sgt *eh, betul ke*)..

~sy xkhwin lg, xpandai bab2 agama n pantang2 ni..  tp sy cme nak timba ilmu sikit2..

syukran ustaz..

Jawapan kami;

Perkara yang mewajibkan mandi adalah;

1) Memasukkan hasyafah ke dalam faraj
2) Keluar mani
3) Keluar haid
4) Keluar nifas
5) Wiladah (keguguran@kelahiran)
6) Meninggal dunia
(Safinah al-Naja)

Selain daripada 6 perkara tersebut, tidak diwajibkan mandi.

Justeru, wiladah termasuk dalam perkara yang mewajibkan mandi. Wanita yang wiladah diwajibkan mandi wajib ketika ingin mengerjakan solat jika tiada darah nifas. Namun, sekiranya wiladah itu disusuli oleh darah nifas, maka tiada keperluan untuknya menyegerakan mandi wiladah tersebut (Sabil al-Muhtadin 101/1, 139/1).

Bahkan ketika itu, haram dan tidak sah bagi perempuan yang haidh atau nifas (sebelum darah berhenti) bersuci (berwuduk dan mandi hadas) dengan niat untuk mengangkat hadas kerana ia dianggap bermain-main dengan ibadat (Tuhfah al-Muhtaj 386/1, Nihayah al-Muhtaj 330/1, Mughni al-Muhtaj 172/1). 

Sehubungan itu, harus baginya menggabungkan mandi wiladah tersebut dalam satu mandian beserta mandi setelah selesai nifas.

Disebut oleh Ibn Ruslan;

وإن نوى فرضا ونفلا حصلا
أو فبكل مثله تحصلا

"Sekiranya dia niatkan sesuatu (mandi) wajib serta sesuatu (mandi) sunat, hasillah kedua-duanya. Atau dia niatkan setiap mandi yang seumpamanya (mandi wajib dengan mandi wajib), terhasillah."

Kesimpulannya adalah seperti berikut;

1) Mandi wajib kerana wiladah wajib dilaksanakan ketika ingin mendirikan solat jika darah nifas tidak keluar sejurus selepas wiladah

2) Mandi wajib kerana wiladah tidak wajib dilaksanakan segera jika darah nifas keluar sejurus selepas wiladah

3) Mandi wajib dengan mandi wajib yang lain boleh dihimpunkan dalam satu mandian dengan satu niat (al-Taqrirot 118).

4) Mandi sunat dengan mandi sunat yang lain boleh dihimpunkan dalam satu mandian dengan satu niat (al-Taqrirot 118).

5) Mandi wajib dan mandi sunat mestilah diniatkan setiap satunya (niat mandi wajib serta mandi sunat) jika ingin disekalikan dalam satu mandian (al-Taqrirot 118).

oleh Ustaz اليسع

Wallahu a'lam.

USRAH SOLAT DAN Q&A MSO
https://telegram.me/usrah_solat_MSO

**Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i

0 Comment "Mandi Wiladah (bagi wanita)"

Post a Comment

Thank you for your comments