Dari Group Usrah Solat : Q&A Ibadah (MSO-D7)
Soalan:
Assalamualaikum... Boleh bagi pendetailan hukum membaca quran melihat mushaf dlm sembahyang mengikut mazhab syafie dan juga pandangan yg lain....syukran
Jawapan kami;
Hukum Membaca al Quran Secara Langsung Daripada Mushaf (al Quran) Ketika Solat
Jawapan oleh Profesor Dr Ali Jum'ah (Mantan Mufti Mesir) :
Saidatina Aisyah Radiyallahu'anha pernah diimami solatnya oleh seorang maula (budak lelaki yang telah dimerdekakan) miliknya yang bernama Zakwan. Pada saat mengimamkannya itu, dia (Zakwan) membaca daripada mushaf.
(Disebutkan oleh al-Bukhari secara ta'liq tanpa menyebutkan salah satu atau semua sanad, dan penyebutan dengan kalimah pasif). Sahih Bukhari, vol 1 hal. 245, Bab Imamat al Abdi wa al Maula; diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Musannaf Ibnu Abi Syaibah, vol 2, hal 123; dan al-Baihaqi, al Sunan al Kubra, vol 2, hal 253).
Oleh itu, para alim ulama daripada Mazhab Syafi'i dan Mazhab Hambali berpendapat boleh melakukannya.
Pendapat mazhab ini disampaikan oleh Imam al-Nawawi; beliau berkata, :
(فرع ) لو قرأ القرآن من المصحف لم تبطل صلاته سواء كان يحفظه أم لا بل يجب عليه ذلك إذا لم يحفظ الفاتحة كما سبق ، ولو قلب أوراقه أحيانا في صلاته لم تبطل ، ولو نظر في مكتوب غير القرآن وردد ما فيه في نفسه لم تبطل صلاته وإن طال ، لكن يكره ، نص عليه الشافعي في الإملاء وأطبق عليه الأصحاب .
"Seandainya dia membaca al Quran daripada mushaf, tidak batal solatnya, baik dia hafal atau tidak. Malah, wajib baginya melakukan itu (membaca dari mushaf) sekiranya dia tidak menghafal al Fatihah. Seandainya dia membolak-balikkan lembarannya (al Quran) di dalam Solat, tidak batal solatnya (selagi tidak melibatkan 3 pergerakan besar berturut-turut).
Demikian dinyatakan oleh Imam al-Syafi'i secara nas di dalam al Imla dan diterapkan oleh para sahabat (ulama' mazhab kami). - Imam al-Nawawi, al Majmu',D vol 4, hlmn 27.
Syaikh Rahibani mengambil pendapat Imam Ahmad radiyallahu 'anhu, beliau berkata, " Boleh bagi orang yang solat (membaca, melihat dan memandang mushaf), iaitu melihat al Quran.
Imam Ahmad berkata "Tidaklah mengapa dia melakukan solat malam (qiyamulail) dengan orang-orang lain dengan dia melihat mushaf." Ditanyakan kepada Imam Ahmad radiyallahu anhu. "Bagaimanakah dengan solat fardhu"? Imam Ahmad menjawab, Aku tidak mendengar sedikitpun tentang hal itu.
Al-Zuhri pernah ditanya tentang seorang lelaki yang membaca mushaf (ketika di dalam solat) di bulan Ramadhan. Beliau (al-Zuhri) menjawab,
"Orang-orang yang terpilih (tokoh-tokoh) di antara kami membaca al Quran dari mushaf-mushaf
:. - Syaikh al Rahibani, Matalib Ulin Nuha, vol 1, hlmn 483 dan 484.
Hanya pada kalangan ulama Mazhab Maliki sahaja yang menyatakan hukumnya (membaca mushaf) adalah makruh ketika sedang solat fardhu atau solat sunat. Sementara pada ulama' Mazhab Hanafi adalah berbeza-beza pendapat di kalangan mereka.
Atas dasar ini, kami berpandangan adalah rajih dan kuatnya pendapat majoriti (kebanyakan) besar pada ulama' bahawa membaca al Quran daripada mushaf di dalam solat itu adalah sah dan tidaklah ada dosa padanya (membaca al Quran daripada mushaf). Dan Allah Subahanahu wa Ta'ala. Yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.
Sumber :
Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah Khilafiah al Bayan – al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor
Oleh Ustaz اليسع
USRAH SOLAT DAN Q&A IBADAH
https://telegram.me/usrah_solat_MSO
**Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i
0 Comment "Hukum Membaca al Quran Secara Langsung Daripada Mushaf (al Quran) Ketika Solat"
Post a Comment