Isu Bacaan Dalam Rukuk Dan Sujud


Soalan:

Terdapat di kalangan umat Islam yang membaca tasbih dalam rukuk dan sujudnya dengan tambahan ‘wa bihamdihi’, bacaannya seperti berikut:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ
Maha Suci Tuhanku yang Maha Besar dan pujian bagiNya
سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Maha Suci Tuhanku yang maha Tinggi dan pujian bagiNya
Bahawa penambahan ‘wa bihamdihi’ ini tidak diperoleh dalam hadis-hadis yang sahih atau hasan melainkan semua riwayatnya adalah lemah malah terdapat di kalangan ulama yang menganggap bacaan ini sebagai bid'ah. Beramallah dengan bacaan-bacaan lainnya yang sahih dan terang, tinggalkanlah perkara yang terdapat padanya keraguan
سبحان ربي العظيم jela..
MOHON PENCERAHAN..


Jawapan kami:

Membaca 'wa bihamdihi' pada tasbih rukuk dan sujud.
Berikut pendapat para ulama mengenai tambahan ucapan 'wa bihamdihi' pada rukuk dan sujud. Antaranya :
1. Zainuddin al-Malibary mengatakan sunat pada rukuk membaca 'Subhana rabbiyal ’azimi wa bihamdihi’ tiga kali dan pada ketika sujud 'Subhana rabbiyal a’la wa bihamdihi' tiga kali.
(Dicetak bersama Hasyiah I'anah al-Tolibin, Dar al-Fikr, 1998, Jil. 1, Hal. 253 & 268)
2. Imam al-Nawawi mengatakan :
“Berkata ashab kami (ulamak-ulamak Mazhab Syafi’i): Disunatkan membaca 'Subhana rabbiyal ’azimi wa bi hamdihi’. Di antara ulama yang menyatakan bahawa sunat mengucapkan 'wa bihamdihi' adalah al-Qadhi Abu Toyyib, al-Qadhi Hussin, pengarang kitab Syamil, Imam al-Ghazali dan para ulama selainnya.”
(al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, Darul Fikr, Jil. 3, Hal. 370)
Dalil fatwa ini adalah berdasarkan :
1. Perintah Allah di dalam al-Quran Surah al-Furqan ayat 58;
وَسَبِّحْ بِحَمْدِهِ
“ serta bertasbihlah dengan memujiNya.”
2. Hadis riwayat Abu Daud :
فكان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا ركع قال : سبحان ربي العظيم وبحمده ثلاثا . وإذا سجد قال : سبحان ربي الأعلى وبحمده ثلاثا
Ertinya : Rasulullah SAW apabila melakukan rukuk, mengatakan 'Subhana rabbiyal ’azimi wa bihamdihi’ tiga kali dan apabila sujud, maka mengatakan ‘Subhana rabbiyal a’la wa bihamdihi' tiga kali
(H.R. Abu Daud :870)
3. Hadis riwayat Darqutni;
عن حذيفة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم : كان يقول في ركوعه : سبحان ربي العظيم وبحمده ثلاثا وفي سجوده سبحان ربي الأعلى وبحمده ثلاثا
Ertinya : Daripada Huzaifah r.a.; "Sesungguhnya Nabi SAW berkata ketika rukuknya 'Subhana rabbiyal ’azimi wa bihamdihi' tiga kali dan ketika sujudnya 'Subhana rabbiyal a’la wa bihamdihi' tiga kali
(H.R. Darqutni)(Darul Ma’rifah, Jil.1, Hal. 341)
4. Hadis Ibn Mas’ud;
عن عبد الله بن مسعود قال من السنة أن يقول الرجل في ركوعه سبحان ربي العظيم وبحمده وفي سجوده سبحان ربي الأعلى وبحمده
Ertinya : Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata : “Termasuk dalam sunnah bahawa berkata seseorang ketika rukuknya 'Subhana rabbiyal ’azimi wa bihamdihi' dan ketika sujudnya 'Subhana rabbiyal a’la wa bihamdihi'
(H.R. Darqutny)(Darul Ma’rifah, Jil. 1, Hal. 341)

Hadis terakhir ini, hukumnya adalah marfu’ meskipun ia adalah perkataan Ibn Mas’ud, iaitu seorang sahabat. Ini kerana perkataan Ibn Mas’ud : “min al-sunnah” dapat dijadikan pegangan bahawa itu adalah datang dari sunnah Nabi SAW.
Kesimpulan ini berdasarkan keterangan Imam al-Nawawi sepertimana berikut :
“Perkataannya, 'Sesungguhnya itu adalah sunnah' adalah sama seperti perkataan sahabat 'Termasuk sunnah seperti ini'. Maka perkataannya itu adalah marfu’."
('Amirah, Hasyiah Qalyubi wa 'Amirah, Dar Ihya al-Kutub al-Arabiyyah, Indonesia, Jil. 1, Hal. 331)
Hadis-hadis mengenai bacaan tersebut di atas, diriwayatkan oleh imam-iman hadis daripada sahabat Nabi SAW yang berbeza. Antaranya :
1. Imam Abu Daud daripada sahabat yang bernama 'Uqbah bin ‘Amir r.a
2. Imam Darqutni daripada sahabat Ibn Mas’ud r.a
3. Imam Darqutni daripada sahabat Huzaifah r.a.

Walaupun pada sanad setiap riwayat hadis di atas terdapat kelemahan, namun perlu diingat bahawasanya suatu hadis dapat menjadi kuat dengan adanya sokongan riwayat-riwayat lain (syawahid & mutaba'ah). Oleh kerana memperhatikan hadis yang menjelaskan sunnah menambah 'wa bihamdihi' ketika rukuk dan sujud terdapat beberapa jalan periwayatannya dengan jalur yang berbeza, maka kami berpendapat hadis tersebut adalah hasan li ghairihi, sehingga dapat dijadikan hujah dalam menentukan suatu hukum fiqh.

Penjelasan seperti ini juga terdapat pada keterangan Muhammad bin ‘Alan al-Sodiqi al-Syafi’i di bawah ini dalam komentar beliau terhadap hadis Ibn Mas’ud iaitu :
كان ابن مسعود إذا ركع قال سبحان ربي العظيم و بحمده ثلاثا وكان يذكر ان النبي صلى الله عليه وسلم كان يقوله
Ertinya : Ibn Mas’ud apabila melakukan rukuk beliau berkata :
“Subhana rabbiyal ’azimi wa bihamdihi' dan beliau menyebutkan bahawa sesungguhnya Nabi SAW ada mengatakannya.
(H.R..Tobarani)(al-Futuhat al-Rabbaniyyah, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Jil.2, Hal. 243)
Muhammad bin ‘Alan al-Sodiqi al-Syafi’i berkata:
“ Hadis ini dhaif dan sanadnya munqati’, tetapi hadis ini ada penyokongnya (syawahid) iaitu hadis ‘Uqbah bin Amir yang dikeluarkan oleh Abu Daud seperti lafaz ini dengan menambah perkataan :
وإذا سجد قال سبحان ربي الأعلى وبحمده ثلاثا.
(al-Futuhat al-Rabbaniyyah, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Jil.2, Hal. 243)
Sayyid Alawi al-Maliki dalam Majmu’ Fatawa wa Rasail (hal. 248) berkata:
قَالَ الاِمَامُ الرَّمْلِيّ الأحَادِيْثُ الشَدِيْدَةُ الضُّعْفِ اذاَ انْضَمَّ بَعْضُهَا اِلَى بَعْضٍ يُحْتَجُّ بِهَا فِي هَذَا البَابِ
“Imam Ramli berkata: “Hadis-hadis yang sangat dhaif ketika dikumpulkan sebahagian daripadanya ke sebahagian yang lain, maka dapat dibuat hujjah dalam bab ini (fadhail amal dll)”.
Al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam Tadrib al-Rawi (I/177) yang mengutip pendapat al-Hafiz Ibn Hajar berkata;
بَلْ رُبَّمَا كَثُرَتْ الطُرُق حَتَّى أَوْصَلَتْه إلىَ دَرَجَةِ المَسْتُوْرِ والسَّيّءِ الحِفْظِ بِحَيْثُ إذَا وُجِدَ لَهُ طَرِيْقٌ آخَرُ فِيْهِ ضَعْفٌ قَرِيْبٌ مُحْتَمِلٌ ارْتَقَى بِمَجْمُوعِ ذَلِكَ إلىَ دَرَجَةِ الحَسَنِ
“Bahkan, terkadang banyaknya jalan riwayat hingga sampai kepada darjat perawi mastur dan yang teruk hafalannya, yang jika ditemukan jalan riwayat lain yang tidak sangat dhaif, maka ia naik ke darjat hasan sebab perhimpunannya”

Wallahu a'lam.



Disediakan oleh Ustaz Alyasak b. Berhan

0 Comment "Isu Bacaan Dalam Rukuk Dan Sujud"

Post a Comment

Thank you for your comments