PENGENALAN KITAB : Matan Safinah Al-Najah


Kitab Safinah memiliki nama lengkap "Safinah al-Najah Fima Yajibu `ala Abdi Ii Maulah" (perahu keselamatan di dalam mempelajari kewajiban seorang hamba kepada Tuhannya). Kitab ini walaupun kecil saiznya akan tetapi sangatlah besar manfaatnya. Di setiap kampung, kota dan negara hampir semua orang mempelajari bahkan menghafalnya, baik secara individu mahupun kolektif. Kitab ini boleh diperolehi dengan mudah di pelbagai pusat pendidikan Mazhab Syafi'i kerana para pelajar mahupun para ulama sangatlah gemar mempelajarinya dengan teliti dan terperinci. Hal ini kerana beberapa faktor, di antaranya:

1) Kitab ini mencakupi pokok-pokok agama secara terpadu, lengkap dan utuh, dimulai dengan bab dasar­dasar syariat, kemudian bab bersuci, bab solat, bab zakat, bab puasa dan bab haji yang ditambahkan oleh para ulama lainnya.

2) Kitab ini disajikan dengan bahasa yang mudah, susunan yang ringkas dan redaksi yang mudah untuk difahami serta dihafal. Seseorang yang serius dan memiliki kemahuan tinggi akan mampu menghafal keseluruhan isinya hanya dalam masa dua atau tiga bulan atau mungkin lebih cepat.

3) Kitab ini ditulis oleh seorang ulama yang terkemuka dalam berbagai bidang ilmu keagamaan, terutama fiqh dan tasawwuf. Apa yang sangat menariknya, orang lebih mengenali nama kitabnya daripada nama penulisnya. Hal yang demikian, mungkin disebabkan berkat keikhlasan dan ketulusan penulis.

4) Kitab ini menjadi acuan para ulama dalam memberikan pengetahuan dasar agama bagi para penuntut ilmu di peringkat permulaan.

5) Kitab ini membicarakan hal-hal yang selalu menjadi keperluan seseorang muslim dalam kehidupan seharian, sehingga semua orang merasa perlu untuk mempelajarinya.

6) Kitab Safinah ini dengan izin Allah SWT. dan atas kehendakNya telah tersebar secara luas di kalangan para pecinta ilmu fiqh terutama yang bermazhab Syafi'i ra.

7) Kitab ini dikenali di pelbagai negara baik Arab mahupun 'Ajam seperti Yaman, Mekah, Madinah, Jeddah, Somalia, Ethiopia, Tanzania, Kenya, Zanjibar dan di pelbagai negara-negara Afrika. Namun demikian, perhatian yang paling besar terhadap kitab ini telah diberikan oleh para ulama dan pecinta ilmu yang hidup di semenanjung Melayu termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura, dan negara-negara lainnya.

8) Kitab ini juga telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa asing seperti Indonesia, Melayu, Sunda, India, Cina, dan lainnya.

Dengan perhatian khusus yang tinggi para ulama telah berkhidmat (mengabdi) kepada kitab Safinah sesuai dengan kemampuan dan keahlian mereka masing-masing. Ramai di antara mereka yang menulis syarah (buku penjelasan) kitab Safinah. Di antara nama-nama kitab tersebut adalah:

1) Kitab Kasyifah al-Saja 'ala Safinatin Najah (menyingkap tabir kegelapan dengan syarah kitab safinah). Kitab syarah ini adalah yang terbesar dan terluas daripada yang lainnya. Sarat dengan masalah-masalah fiqh yang pokok dan dasar. Kitab ini ditulis oleh seorang ulama dari Jawa Barat iaitu Syeikh Nawawi Banten. Beliau dilahirkan pada tahun 1230 H (1815M) dan berangkat ke Mekah untuk mencari ilmu ketika masih kecil. Setelah mendalami ilmu agama, di kota suci Mekah, beliau juga belajar daripada para ulama di kota suci Madinah, Syria, dan Mesir. Beliau mengajar di Masjidil Haram Mekah selama puluhan tahun sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1314 H (1897 M)

2) Kitab Durrah al-Thaminah Hasyiah 'ala Safinah (Permata yang mahal dalam keterangan safinah). Kitab ini sangat penting untuk dimiliki oleh para pecinta ilmu, kerana dilengkapi dengan dalil-dalil yang bersumber daripada al­Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Kitab ini ditulis oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Al-Hadrawi, seorang ulama dari Mekah. Kitab ini ditulis pada awalnya di kota Musowwi' Ethiopia, atas petunjuk gurunya iaitu Syeikh Muhammad al-Syazili Marocco dan diselesaikan di kota Taif. Penulis syarah ini dilahirkan di Iskandariah Mesir pada tahun 1252 H (1837 M) dan meninggal dunia di Mekah pada tahun 1327 H (1909 M).

3) Kitab Nailu al-Raja' Syarh Safinah Najah (Meraih harapan dengan syarah safinah). Syarah ini sangat dipenuhi dengan ilmu. Hampir menjadi keperluan setiap pengajar yang akan menerangkan kitab Safinah. Kitab ini ditulis oleh seorang ulama besar dari Hadhramaut Yaman, iaitu Sayyid al-Habib Ahmad bin Umar al-Syatiri. Beliau dilahirkan di kota Tarim Hadhramaut pada tahun 1312 H (1895 M), dan di sana juga beliau mempelajari ilmu agama sehingga tumbuh berkembang menjadi ulama yang terkemuka. Beliau sangat dicintai gurunya iaitu Syeikhul Islam, Sayyid Abdullah bin Umar al-Syatiri, ulama besar di zamannya. Penulis syarah ini meninggal dunia pada usia yang masih muda, iaitu sebelum beliau berumur 50 tahun.

4) Kitab Nasim al-Hayah Syarh Safinah Najah. Syarah ini hampir sama dengan syarah yang ditulis oleh Syeikh Nawawi Banten, tetapi memiliki tambahan dengan banyaknya dalil dan perincian yang teliti. Kitab ini ditulis oleh Syeikh al-Faqih al-Qodhi Abdullah bin Awad bin Mubarok Bukair, seorang ulama kenamaan berkeahlian dalam bidang fiqh di Hadhramaut Yaman. Beliau dilahirkan di desa Ghail Bawazir tahun 1314 H (1897 M). Sejak kecil beliau sangat gemar mendalami ilmu syariat daripada pelbagai ulama di antaranya adalah al-Imam Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi, Syeikh Umar bin Mubarok Badubbah, Syeikh Umar bin Salim Bawazir dan lain-lain. Setelah tersebar keilmuannya, beliau menjadi qodhi di Mukalla sejak tahun 1351 H (1933 M) sehingga tahun 1386 H (1967 M). Syeikh Abdullah meninggal dunia pada tahun 1399 H (1979 M) di kota Mukalla setelah memberikan pengabdiannya yang tulus kepada umat Islam.

5) Kitab Inaroh al-Duja Bi Tanwir al-Hija Syarh Safinah Najah. Salah satu syarah yang sangat menarik dan teguh kerana dipenuhi dengan rujukan daripada al-Quran dan hadis. Uniknya, syarah ini ditulis oleh salah satu ulama Mazhab Maliki iaitu Syeikh Muhammad bin Ali bin Husein al-Maliki. Seorang ulama yang sangat berkeahlian dalam pelbagai bidang ilmu agama. Beliau juga sangat terkenal dalam bidang ilmu bahasa dan sastera Arab. Beliau dilahirkan di Mekah tahun 1287 H 0 870 M) dan meninggal dunia tahun 1368 H (1949 M). Puncak kemasyhurannya adalah ketika beliau dilanntik sebagai Mufti Mazhab Maliki di kota suci Mekah al-Mukarromah. Tokoh ini juga sangat produktif sehingga koleksi karyanya lebih daripada 30 kitab. Di antaranya adalah syarah safinah tersebut.

Dari kalangan para ulama ada pula yang tertarik menjadikan kitab safinah ini dalam bentuk syair-syair yang digubah dengan mudah dan indah. Tercatat di antara nama-nama mereka adalah:

1) Sayyid Habib Abdullah bin Ali bin Hasan al-Haddad.
2) Sayyid Habib Muhammad bin Ahmad bin Alawy Ba'agil.
3) Kiyai Syeikh Siddiq bin Abdullah, Lasem.
4) Syeikh Muhammad bin Ali Zakin Bahanan.
5) Sayyid Habib Ahmad Masyhur bin Toha al-Haddad.

Berdasarkan tulisan di atas, dapatlah kita fahami betapa penting kitab safinah ini, untuk menjadi rujukan bagi para pelajar dalam mempelajari ilmu agama, sebagaimana namanya, iaitu safinah yang berarti "perahu" yang akan menyelamatkan para pecintanya daripada gelombang kebodohan dan kesalahan dalam beribadah kepada Allah SWT. Amin.

Perkongsian oleh:
Ustaz Alyasak b. Berhan

Dinukil daripada :
TERJEMAHAN KITAB SAFINATUN NAJAH, Fiqh Ibadah Praktis Dan Mudah Terjemahan Dan Penjelasan
Penulis : KH. Ust, Yahya Wahid Dahlan

0 Comment "PENGENALAN KITAB : Matan Safinah Al-Najah"

Post a Comment

Thank you for your comments