Ulasan Ustaz Khafidz Soroni Hadith Amalan Pembuka Rezeki


Dari Channel Nota Q&A Hadith ⭐️ MSO-D4

Soalan:

Mohon pencerahan ustaz bg status 5 zikir pembuka pintu rezeki ni?


Jawapan ustaz Khafidz Soroni:

Dulu ada yang bertanya tentang status atau kedudukan 7 amalan pembuka pintu rezeki yang banyak disebarkan dalam media sosial. Maka, ulasan mengenainya adalah seperti berikut;

1. Memperbanyakkan membaca: La hawla wala quwwata illa billah.
“… Barangsiapa yang lambat datang rezekinya, hendaklah memperbanyakkan mengucap: La hawla wala quwwata illa billah (لا حول ولا قوة إلا باللّه).”

Ulasan*
HR at-Tabarani dan Ibn 'Asakir. Kata al-Hafiz al-Haithami: “Padanya ada Yunus bin Tamim. Az-Zahabi mendaifkannya dengan sebab hadis ini”. al-Hafiz az-Zahabi menyatakan hadis ini batil, tetapi tidak dijelaskan siapa perawi yang memalsukannya. Sedangkan Yunus bin Tamim adalah dari kalangan ulama Mazhab Maliki sepertimana yg direkodkan oleh al-Qadhi ‘Iyadh dalam Tartib al-Madarik. Kemungkinan sanad hadis ini daif sahaja pun ada.

2. Membaca: La ilaha illallah al-malikul haqqul mubin.
“Barangsiapa membaca: La ilaha illallahul malikul haqqul mubin (لا إله إلا الله الملك الحق المبين) pada setiap hari 100 kali, maka ia akan menjadi keamanan baginya dari kefakiran, menenteramkan dari rasa takut dalam kubur, menarik kekayaan dan mengetuk pintu syurga”.

Ulasan*  HR al-Khatib al-Baghdadi, ar-Rafi‘i, Ibn an-Najjar, Abu Nu’aim dan ad-Dailami dengan sanad daif daripada ‘Ali bin Abi Talib RA. Ma‘mar bin ‘Abd al-Wahid al-Qurasyi telah meriwayatkan di dalam kitabnya Mujibat al-Jannah hadis ini daripada riwayat Ibn ‘Umar RA dan Anas bin Malik RA.

3. Membaca: Subhanallah wa bihamdihi, subhanallahil aziim.
“Ya Ibn ‘Umar, ucapkanlah dari masa terbit fajar hingga solat subuh: سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم serta beristighfar kepada ALLAH 100 kali. Dunia akan datang kepadamu secara tunduk hina dan ALLAH akan menciptakan dari setiap kalimat yang engkau ucapkan itu satu malaikat yang akan bertasbih sampai hari Kiamat yang pahala tasbihnya itu adalah untukmu.” 

Ulasan*  HR Ibn Hibban dalam al-Majruhin, al-Hakim dalam Tarikhnya, al-Daraqutni dalam ar-Ruwat ‘an Malik dan al-Mustaghfiri dalam ad-Da’awat. Kata al-Hafiz al-‘Iraqi: Gharib daripada hadis Malik. Ibn ‘Arraq mengatakan ia hadis daif, bukan maudhu‘.

4. Membaca Surah AL-IKHLAS:
“Barangsiapa membaca قل هو الله أحد (surah al-Ikhlas) ketika memasuki rumahnya, maka akan dihilangkan kefakiran dari penghuni rumah itu dan juga jiran tetangganya.”

Ulasan*  HR at-Tabarani dengan sanad daif jiddan (sangat lemah).

5. Membaca Surah AL-WAQI‘AH: 
"Barangsiapa membaca surah al-Waqi‘ah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa kesempitan hidup selamanya”.  

Ulasan*  HR al-Harith dalam al-Musnad, Ibn as-Sunni dalam ‘Amal al-Yawm wal-Laylah, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan lain2 daripada riwayat ‘Abdullah ibn Mas‘ud RA. Diriwayatkan juga bhw ‘Abdullah ibn Mas‘ud RA berkata: “Aku telah perintahkan anak-anak perempuanku supaya membacanya setiap malam”. Sanad hadis ini didaifkan oleh para pengkritik hadis seperti Imam Ahmad, Ibn Abi Hatim, ad-Daraqutni, al-Bayhaqi, Ibn al-Jawzi, az-Zayla‘i, as-Suyuti dan lain-lain.

6. Memperbanyakkan SELAWAT ke atas NABI SAW:
Daripada Anas RA daripada Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali selawat, maka ALLAH akan membalas kepadanya sepuluh kali selawat, dihapuskan daripadanya sepuluh kesalahan dan diangkat baginya sepuluh darjat.”

Ulasan*  HR Ahmad, al-Bukhari dalam al-Adabul Mufrad, an-Nasa’i dan lain-lain dengan sanad sahih.

7. Melazimkan BERISTIGHFAR:
"Barangsiapa melazimkan beristighfar, nescaya ALLAH akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan juga kelepasan dari setiap kesusahan, serta memberikannya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga”.

Ulasan*  HR. Abu Dawud, Ibnu Majah dan al-Baihaqi. Sebahagian pengkritik hadis seperti al-Hafiz al-Zahabi dalam Talkhis al-Mustadrak dan lain-lain menghukum hadis ini sebagai daif kerana kedudukan al-Hakam bin Mus’ab. Manakala, sebahagian pengkritik hadis melihat sebaliknya dan menyatakan ianya sabit, iaitu:
i.  Al-Hakim dalam al-Mustadrak menyatakan: Sahih sanadnya.
ii.  Al-Hafiz al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib mengiyakan pendapat al-Hakim.
iii.  Imam al-Nawawi memuatkannya di dalam kitab Riyadh al-Salihin yang hanya memuatkan hadis-hadis sahih menurut pandangannya.
iv.  Al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Amali al-Mutlaqah menyebut: Hadis hasan gharib.
v.  Al-Hafiz al-Suyuti mengisyaratkan hadis ini sebagai sahih di dalam kitabnya al-Jami’ al-Saghir (no. 8508).
vi.  Syeikh Ahmad Syakir dalam tahkiknya ke atas Musnad Ahmad (4/55) mengatakan: Sanadnya sahih.
vii.  Syeikh Mansur ‘Ali Nasif dalam kitab al-Taj al-Jami’ lil Usul (5/185): menyatakan: Sanadnya sahih.

Kesimpulan:

* Meskipun kebanyakan hadis ini dikatakan daif (kecuali hadis no. 4), ia dapat diamalkan dalam bab fadha’il amal. Hadis no. 6 sahih, namun tidak jelas fungsinya sebagai pembuka pintu rezeki kecuali selawat daripada Allah SWT yang merupakan rahmat daripada-Nya dan pengangkatan darjat orang yang berselawat itu.

Wallahu a‘lam.

Channel Nota Q&A Hadith ⭐️ MSO-D4
https://telegram.me/bicara_hadithMSO

0 Comment "Ulasan Ustaz Khafidz Soroni Hadith Amalan Pembuka Rezeki"

Post a Comment

Thank you for your comments