Ingin penulis menukil kata-kata Tuan Guru Syeikh Nuruddin al Banjari hafizahullah :
(Hanya segelintir sahaja yang mampu meneliti secara adil.Bahkan sikap keterlaluan mereka, telah sanggup menjadikan tasawwuf sebahagian sifat yang tercela dan dicaci. Dengan sebabnya boleh menggugurkan kelayakan seseorang untuk menjadi saksi dan menghilangkan sifat 'adalah (tidak fasiq). Sehingga dik “Apabila dipersoalkan, kenapa? Maka dijawabnya : “Kerana beliau seorang sufi.”
Apa yang pelik dan menghairankan ialah apabila kita perhatikan terdapat segelintir golongan yang mencela tasawwuf, jelas menentang, malah bermusuhan terhadap pengamalnya dan juga yang sering mengingkarinya, mereka ini telah melakukan perkara yang dilakukan oleh ahli Tasawwuf. Setelah itu tanpa segan silu telah memetik ungkapan kata-kata tokoh-tokoh sufi di dalam ucapan dan khutbah mereka di atas mimbar Jumaat serta halakah pengajian. Ada yang penuh bangga dan angkuh berucap : “Berkata al Fudhail bin Iyadh, berkata al-Junaid, berkata Hasaan al-Basri, berkata Sahl al-Tustari, berkata al-Muhasibi dan berkata Bishru al-Hafi.
Kesemua mereka itu merupakan imam-imam, paksi, tiang, tonggak dan binaan tasawuf. Kitab-kitab tasawuf dipenuhi dengan ucapan-uacapan, kisah-kisah, moral dan kesempurnaan mereka. Saya tidak pasti adakah dia tidak mengetahui atau sengaja berpura-pura tidak tahu, buta atau sengaja memejamkan mata?)
Perbezaan Tariqah dengan Tasawwuf
Walaupun kedua-dua istilah, tariqah dan tasawwuf itu sama pengertian atau maksudnya, namun jika diteliti secara terperinci, maka kita akan dapati masih ada juga sedikit perbezaan antara kedua-duanya.
Misalnya, apabila kita mahu menjelaskan sesuatu aliran dhikr, maka biasanya kita akan menyebut : Tariqah Ahmadiyah atau Tariqah Qadiriyyah atau Tariqah Naqsyabandiyyah atau sebagainya lagi. Kita tidak pernah mendengar orang menyebut atau melihat orang menuliskan : Tasawwuf Ahmadiyyah atau Tasawwuf Qadariyyah atau Tasawwuf Naqsyabandiyyah atau sebagainya lagi. Apa yang pernah kita dengar dan temui dalam tulisan-tulisan ialah : Tasawwuf Salafi, Tasawwuf Falsafi atau seumpamanya lagi. Keadaan ini membuktikan adanya perbezaan sedikit antara tariqah dengan tasawwuf.
Definisi tariqah oleh Maulana Zakariyya al Kandahlawi rahimahullah di dalam kitabnya al-Syari'ah wa al-Tariqah menjelaskan bahawa tariqah itu ialah jalan yang boleh menyampaikan seseorang mukmin ke darjat ihsan itu ialah tasawwuf, maka amat nyatalah bagi kita bahawa tariqah itu ialah jalan mujahadahnya, sedangkan tasawwuf itu pula adalah natijahnya atau hasil mujahadah itu sendiri.
Jadi, dengan mempelajari ilmu tasawwuf kita dapat mengenal penyakit-penyakit mazmumah dan mengubati penyakit-penyakit tersebut dengan ubatnya iaitu sifat-sifat mahmudah. Penyakit-penyakit ini tidak dapat dihukum dengan hukum Feqah kerana penyakit ini tempatnya di hati manakala hukum Feqah itu bersifat fi'liyah (perbuatan/perlakuan) seharian kita baik dalam bab ibadat mahupun muamalat.
Golongan sufi.
Siapakah golongan sufi yang sering disalahfahami oleh golongan yang menolak ajaran tasawuf ini?
Dipetik dari kitab al Ghunyah Lithalibi Thariq al-Haq karangan Syeikh Abdul Qadir al Jailani rahimahullah :
Istilah sufi sendiri menurut asal-usulnya berasal dari kata “al-mushafah” yang bermaksud hamba yang dibersihkan oleh Allah. Kerana itulah sufi didefinisikan sebagai orang yang bersih (suci) dari jebakan-jebakan nafsu, terhindar dari cela-cela diri, menempuh jalan terpuji, istiqamah menjalani kenyataan hakiki (haqaiq) dan tak merasakan ketenteraman hati dengan seorang pun dari kalangan makhluk (khalaiq). Ada juga yang mendefinisikan tasawwuf dengan “berkata dan berlaku benar dengan Allah dan berbudi baik dengan makhluk”.
Manakala orang awam seperti kita yang menempuh jalan salik (jalan yang pernah ditempuh oleh para sufi) disebut sebagai “Mutashawwif iaitu orang yang berusaha menjadi sufi. Kesimpulannya, para sufi itu terdiri dari golongan wali-wali Allah.
Apa kaitannya Tasawwuf, Tariqah dan Sufi dengan ajaran Syiah?
Ini adalah satu dakwaan yang pelik kerana Ajaran Syiah itu salah satu daripada pecahan-pecahan firqah yang disebut dalam sebuah hadith Baginda salallahu alaihi wasallam yang bermaksud :
“Demi Tuhan yang memgang jiwa Muhammad ditanganNya, akan berfirqah umatKu sebanyak 73 golongan, yang satu masuk syurga dan yang lain masuk neraka.”
Bertanya para sahabat : “ Siapakah golongan yang tidak masuk neraka itu ya Rasulullah?”
Nabi menjawab : “Ahlussunnah wal Jamaah”
(Hadith Riwayat Imam Thabrani)
Setelah dikaji oleh para ulama Usuluddin, pembahagian 73 itu ialah seperti berikut secara ijma' :
Syiah 22 aliran
Khawarij 20 aliran
Muktazilah 20 aliran
Murjiah 5 aliran
Najariah 3 aliran
Jabariah 1 aliran
Musyabihah 1 aliran
Ahlussunnah wal Jamaah 1 aliran.
Kita semua sedia maklum bahawa semua tokoh-tokoh sufi adalah berfahaman Ahlussunah wal Jamaah. Erti Ahlussunnah ialah penganut Sunnah Nabi dan erti wal Jamaah ialah penganut i'tiqad sebagai i'tiqad Jamaah sahabat-sahabat Nabi. I'tiqad Nabi dan para sahabat telah lama termaktub dalam Al Quran dan dalam Sunnah Rasul secara terpisah-pisah, belum tersusun secara rapi dan teratur, kemudian dikumpulkan dan dirumuskan dengan rapi oleh ulama Usuluddin yang besar iaitu, Syeikh Abu Hasan 'Ali al Asy'ari (260-324H) kemudian orang menamakan kaum pegangan ahlussunnah wal Jamaah sebagai Asya'irah.
Di dalam kitab “Ihtihaf Sadatul Muttaqin” karangan Imam Muhammad bin Muhammad al Husni az Zabidi, iaitu kitab syarah dari kitab “Ihya Ulumuddin” karangan Imam Ghazali yang bermaksud ;
“Apabila disebut kaum Ahlussunnah wal Jamaah, maka maksudnya ialah golongan yang mengikut fahaman Asyari dan fahaman Abu Mansur al Maturidi.”
Ciri-ciri ringkas fahaman Syiah
1. Mengatakan Sayyidina Ali radiyallahuanhu adalah khalifah yang sepatutnya dilantik selepas kewafatan Rasulullah salallhu alaihi wasslam dengan bersandarkan hadith "Ghadir Khum."
2. Menggantikan nama 'khalifah' kepada 'Imam'.. Ahlussunnah wal jamaah merujuk Imam untuk para ulama muktabar.
3. Pengertian 'Ahli Bait' bagi kaum SYIAH ialah Siti Fatimah, saidina Ali, saidina Hasan & Husein, menantu dan cucu cucu Nabi. Isteri-isteri Nabi s.a.w menurut mereka bukan Ahli Bait (keluarga baginda s.a.w).
4. Orang berfahaman SYIAH percaya kepada silsilah 12 Imam dan imam yang ke-12 ialah Imam Mahdi. Menurut kepercayaan mereka, Imam yang ke 12 tidak wafat tapi melainkan lenyap bersembunyi di suatu tempat persembunyian di sebuah rumah di kota Samara' (Iraq). Hingga kini mereka yang di Samara' berkumpul tiap malam di rumah tersebut di depan lubang yang ada dalam rumah itu dan memanggil-memanggil agar Imam itu keluar.
5. Pandangan sebahagian kaum SYIAH terhadap Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar & Sayyidina Uthman radiyallahu anhu adalah perompak/perampas terkutuk bahkan ada yang mengkafirkan mereka. Nauzubillah. Walaupun SYIAH aliran Zaidiyyah tidak mengutuk mereka, fahaman tersebut tergelincir daripada aqidah yang haq (benar).
6. Persoalan Imam yang lenyap adalah perkara pokok dalam fahaman SYIAH. Fahaman Imamah percaya, bahawa Imam yang ke-12 telah lenyap dan akan muncul kembali. Syiah Ismailiyah pula berkeyakinan Imamnya yang ke-7 yakni Ismail Bib Jaafar Shadiq telah lenyap & akan lahir pada akhir zaman. Manakala Syiah lain beranggapan yang imam yang ke-5 akan muncul pada akhir zaman.
7. Antara aliran-aliran Syiah ada terdapat Sabaiyah yakni aliran Abdullah bin Saba'. Dia pernah mengatakan bahawa dalam kitab Taurat, setiap Nabi mempunyai Washi (semacam putera mahkota) dan Sayyidina Ali ialah putera mahkota dari Nabi Muhammad s.a.w.
Menurut dia lagi, Sayyidina Ali diangkat ke langit ketika terbunuh dan yang terbunuh itu bukan Saiyyidina Ali. Akan tetapi hanyalah orang yang menyerupai beliau sebagaimana cerita Nabi Isa a.s. Manakala kononnya suara-suara guruh adalah suara Sayyidina Ali yang marah dengan tindak tanduk Sayyidina Muawiyah. Mereka akan mengucap 'Assalamualaikum ya Amirul Mukminin' apabila mendengar bunyi guruh.
8. Sebahgian daripada mereka percaya bahawa ruh Imam-imam itu turun-menurun dari Imam Ali hingga ke imam ke-12 sehingga roh menjadi sangat suci.
9. Fahaman Syiah Beri'tiqad (percaya / berpegang) dengan at-Taqiyah, yakni menyembunyikan
10. Tidak menerima Ijma' kerana bagi mereka membenarkan ijma bermaksud mendengar pendapat orang diluar faham Syiah. Fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah menerima qias & ijma' sebagai sumber hukum selepas al-Quran & Sunnah.
11. Nikah Muta'ah adalah halal menurut fahaman Syiah. Menurut para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah, pernikahan muta'ah adalah tidak sah. Maka bagaimana mereka mengaku mereka adalah Ahlul Bait (keluarga baginda Nabi Muhammad s.aw) sedangkan nasab mereka putus kerana pernikahan yang tidak sah?
Inilah fahaman syiah yang perlu diketahui serba sedikit secara ringkas agar kita menjauhi fahaman ini.
Keterangan yang keliru : Fahaman ini bukan diasaskan oleh Sayyidina Ali radiyallahu anhu. Selain daripada itu, ada orientalis menerangkan bahawa fahaman syiah itu iallah fahaman yang mencintai saiyidina Ali atau golongan yang mencintai ahlul bait Rasulullah. Ia satu keterangan yang sangat keliru kerana Ahlus sunnah wal Jamaah dan seluruh umat islam mencintai ahlul bait khususnya sayidina Ali radiyallahu anhu.
Kesimpulannya, tuduhan mengaitkan tasawwuf, tariqah dan sufi dengan ajaran syiah merupakan satu tuduhan yang bersifat terburu-buru tanpa meneliti dengan adil yakni bertanya atau merujuk terlebih dahulu kepada ahlinya sendiri. Ajaran ini sudah ada semenjak dari zaman Rasulullah salallahu alaihi wasallam, tinggal lagi ia tidak diberi nama tasawwuf sebagaimana ilmu-ilmu yang lain seperti feqah, usulluddin, ilmu tajwid, ilmu nahu dan banyak lagi untuk dinyatakan. Wallahua'lam.
Ditulis oleh Ustaz Uthman Daud
0 Comment "TASAWWUF,TARIQAH & SUFI"
Post a Comment