Pendapat Paling Sahih Dalam Mazhab Syafi'i Berkenaan Tempat Membayar Zakat Fitrah



Dari Channel Usrah Solat : Q&A Ibadah (MSO-D7)

Soalan:

Nk tanya pandangan...ada pandangan mengatakan afdhal bayar zakat fitrah di tempat mencari rezeki & ada yg kata afdhal bayar ditempat kita berhari raya....kalau2 boleh share skit. Tk

Jawapan kami;

Imam Nawawi menyatakan;

إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.

"Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib ke atasnya-berada di sebuah negeri, manakala hartanya berada di negeri lain, maka (negeri) mana satukah yang diambil kira (ketika membayar zakat fitrah)?
Terdapat dua pandangan; salah satunya : (yang diambil kira ialah) negeri (tempat di mana) harta (itu berada) sama seperti zakat harta (yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada).

(Pendapat) yang paling sahih (daripada kedua-dua pandangan ini) ialah (yang diambil kira ialah) negeri, (tempat di mana) tuan punya harta (berada).

Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih ini), ialah pengarang (Imam al-Syirazi) dalam (kitabnya) al-Tanbih, al-Jurjani dalam (kitabnya) al-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'ei dan lain-lain."(al-Majmuk).

Disebutkan di dalam al-Mausu'ah al-Feqhiyyah;

"Zakat fitrah perlu disalurkan di negeri yang di mana seseorang mukallaf itu berkewajipan menunaikan zakat fitrah (dengan memperolehi (menemui) sebagian bulan Ramadhan dan sebagian bulan Syawal) sama ada hartanya ada di situ ataupun tidak. Ini kerana yang diwajibkan ke atasnya adalah sebab wajibnya (berkaitan dengan sebab wajibnya). Maka ia perlu disalurkan di negeri yang menjadi sebab zakat itu terjadi."(Al-Mausu'ah Al Feqhiyyah, 23/345).

Syeikh al-Qaradhawi menyatakan :

فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر

"Maka (setiap) muslim (perlu) membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama (bulan) Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat (fitrah) ini (menjadi wajib), bukannya puasa. Sebab (ia menjadi wajib) ialah (munculnya Hari Raya) Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan (zakat ini) kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri)."

Majlis Fatwa Palestin menukilkan :

أما زكاة الفطرة فلقد اتفق العلماء على أنها تخرج في مكان تواجد الشخص لا مكان تواجد ماله لأنها تتعلق بالبدن فكان أداؤها مكان تواجد البدن

"Adapun zakat fitrah, para ulama telah bersepakat bahawa ia dikeluarkan (dibayar) di tempat seseorang itu berada, bukannya di tempat hartanya (sumber pendapatannya) berada. Ini kerana, ia (zakat fitrah) berkait dengan 'badan' (diri seseorang mukallaf-zakat badan) maka pembayarannya (dibuat) di tempat (di mana) 'badan' itu berada."

Adapun 'fatwa' yang mengatakan zakat fitrah perlu dibayar di tempat seseorang mencari rezeki adalah merupakan fatwa yang bercanggah dengan pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafi'i.

Wallahu a'lam.

Oleh Ustaz اليسع

Usrah Solat Q&A Ibadah MSO-D7
https://telegram.me/usrah_solat_MSO
Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i

0 Comment "Pendapat Paling Sahih Dalam Mazhab Syafi'i Berkenaan Tempat Membayar Zakat Fitrah"

Post a Comment

Thank you for your comments