Salafiah penjenamaan bermasalah Dr Mohd Hamidi Ismail (Pensyarah USIM Bidang Aqidah) PENJENAMAAN digunakan bertujuan memberi identiti ke atas sesuatu perkara bagi membezakannya daripada yang lain. Dalam Islam, penjenamaan turut digunakan bagi membezakan antara mazhab akidah dan fiqah. Antara penjenamaan yang biasa digunakan pada peringkat awal ialah al-salaf-salih, al-firqah al-najihah, ahl al-hadith wa al-sunnah, ahl al-athar, al-ta'ifah al-mansurah dan lain-lain lagi. Pada hari ini, penjenamaan yang menarik perhatian ramai ialah 'salaf' atau 'mazhab salafiah'. Jika diteliti daripada sudut manhaj, pendekatan salaf dan Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah sama bahkan sesiapa sahaja yang mengaplikasi pendekatan Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah dikategorikan sebagai orang yang mengimplimentasi pendekatan salaf. Selain itu, menggunakan istilah 'salaf' bagi merujuk kelompok manusia yang hidup sesudah tiga kurun awal hijrah adalah tidak tepat berdasarkan leksikologi dan terminologi, malah jauh daripada menepati ciri-ciri golongan cemerlang salaf yang disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah pada kurun ku..." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Memahami perkara inilah, Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak mengguna pakai nama salafiah dan berpada mengaku sebagai khalaf. Apabila disebutkan Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah di sini, ia segera merujuk kepada Asha'irah dan Maturidiah dari segi akidah; Hanafiah, Malikiah, Shafi'ah dan Hanbaliah dari segi fiqah dan mazhab Junaid al-Baghdadi dari segi ilmu tasawuf. Terdapat penjelasan lain mengapa Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak menjenamakan diri mereka sebagai salafiah. Pendakwah terkenal, Dr Ali Jum'ah menjelaskan, mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah yang dipelopori Asha'irah tidak memerlukan penjenamaan itu kerana mereka tidak pernah menyalahi akidah dan syariat kalangan salaf tiga kurun awal hijrah. Mereka hanya mengembangkan pendekatan bagi memahami akidah dan syariat kalangan salaf sesuai dengan perkembangan pemikiran dan demografi manusia. Asha'irah tidak melakukan sebarang bidaah, mereka cipta akidah dan syariat baharu, mereka hanya memudahkan cara berakidah dan bersyariat kepada manusia berpandukan pendekatan salaf. Adapun mereka dikenali sebagai Asha'irah kerana mengguna pakai manual yang digunakan Imam Abu Hasan al-Ash'ari, imam Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah, seperti mana kebiasaan pengikut mazhab dalam Islam seperti Shafi'iah, Hanbaliah, Tahawiah dan lain-lain. Menurut Dr Ali Jum'ah lagi, mengenal pendekatan Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah dan ilmuwan salaf adalah cara sebenar mengenal persamaan antara mereka dan bukan mengenal penjenamaan semata-mata, seperti yang biasa difahami oleh mereka yang lemah akal dan orang awam. Sebaliknya, ada kumpulan yang mewakili segelintir umat Islam menjenamakan diri mereka sebagai Salafiah sekali pun mereka menyalahi banyak perkara dikemukakan salaf dan Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah. Seorang lagi pendakwah Islam terkenal iaitu Dr Ramadhan al-Buti menyifatkan kumpulan ini mereka cipta pendekatan baharu yang tidak ditemui daripada salaf ataupun khalaf. Kumpulan ini cenderung kepada pemikiran dan pendekatan diambil Muhammad Abdul Wahab (m. 1206H), sewajarnya mereka menjenamakan diri mereka sebagai Wahabiah dan bukannya Salafiah. Ada kalangan mereka yang cuba mengalihkan perhatian orang ramai, mengatakan Wahabiah adalah kumpulan dinisbahkan kepada Abdul Wahab Rustum, penganut fahaman Ibadhiah di Algeria sekitar kurun ke-2 Hijriah. Cubaan ini meleset kerana tokoh besar Wahabiah seperti Bin Baz dan al-Albani sendiri memperakui Wahabiah dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab. Jika tidak cukup dengan itu, dunia Barat turut mengenali Wahabiah. Dalam Encyclopedia Britannica, entri 'Wahabi' dicatatkan merujuk kepada pengikut Muhammad bin Abdul Wahab. Selain itu, pengkaji sejarah dunia terkemuka seperti CJ Burckhardt dan orientalis Sedillot merakamkan kewujudan Wahabiah dan penisbahan kumpulan itu kepada Muhammad Abdul Wahab. Terdapat banyak faktor mengapa Wahabiah menjenamakan diri mereka sebagai salafiah dan tidak Wahabiah. Antara faktornya ialah, Wahabiah dikaitkan dengan sejarah kekejaman dan pembunuhan ke atas umat Islam di Semenanjung Arab serta persekongkolan dengan British untuk menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniah. Wahabiah turut dikaitkan dengan salafi-jihadi dan anggota militan berkenaan mendukung ideologi wahabisme malah menjadi pengikut tegar tokoh-tokoh Wahabiah. Oleh kerana pembongkaran seperti ini dan banyak lagi, Wahabiah berusaha mencari pelbagai helah bagi menafikan rekod hitam mereka demi kelangsungan propaganda dan politik dalam dunia Islam. Penulis adalah Penyelidik di Unit Penyelidikan Sekretariat Kumpulan Penyelidikan Ahli Sunnah, Negeri Sembilan Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 7:00 AM https://ift.tt/2Y2Mcsz
PENJENAMAAN digunakan bertujuan memberi identiti ke atas sesuatu perkara bagi membezakannya daripada yang lain. Dalam Islam, penjenamaan turut digunakan bagi membezakan antara mazhab akidah dan fiqah.
(Feed generated with FetchRSS)
source https://www.facebook.com/1499687470298765_2578869385713896
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comment "Salafiah penjenamaan bermasalah"
Post a Comment