Photos from Penuntut Ilmu's post

Kalam al-Imām Shaykh al-Islām al-Nawawī (w.676H) Berkenaan Keharusan Meriwayatkan Hadis Ḍaʿīf dan Beramal Dengannya

<<<<< >>>>>

[1]

Tokoh besar ulama’ dunia Islam yang disepakati, “pengasas kedua” mazhab Syafie dan salah seorang daripada dua mujtahid al-taḥrīr (penyaringan) mazhab Syafie, al-Imām Shaykh al-Islām al-Nawawī (w.676H) menyebut di dalam kitabnya “al-Adzkār al-Nawawiyyah”, hal. 8, [cetakan Dār al-Fikr (1414H/1994M)]:

قال العلماء من المحدثين والفقهاء وغيرهم: يجوز ويستحب العمل في الفضائل والترغيب والترهيب بالحديث الضعيف ما لم يكن موضوعا

“Para ulama’ dari kalangan ulama’ hadis dan fuqaha’ serta selain daripada mereka menyatakan bahawa:

HARUS, dan bahkan DISUNATKAN untuk beramal dengan hadis ḍaʿīf di dalam bab fadilat-fadilat amalan, galakan untuk melakukan kebaikan (targhīb) dan ancaman dari melakukan dosa dan maksiat (targhīb), selagimana ia bukan merupakan [hadis] palsu (mawḍūʿ).”

[2]

Manakala di dalam kitabnya “al-Taqrīb wa al-Taysīr li Maʿrifat Sunan al-Bashīr al-Nadzīr fī Uṣūl al-Ḥadīth”, al-Imām Shaykh al-Islām al-Nawawī (w.676H) menyebut (hal. 48, cetakan Dār al-Kitāb al-ʿArabī (1405H/1985H)]:

ويجوز عند أهل الحديث وغيرهم التساهل في الأسانيد ورواية ما سوى الموضوع من الضعيف والعمل به من غير بيان ضعفه في غير صفات الله تعالى والأحكام كالحلال والحرام وغيرهما وذلك كالقصص، وفضائل الأعمال، والمواعظ وغيرها مما لا تعلق له بالعقائد والأحكام

“Dan HARUS di sisi ahli (ulama’) hadis dan selain mereka untuk bersikap mudah (taṣāhul) pada sanad-sanad hadis dan periwayatan hadis ḍaʿīf selain dari [hadis] palsu (mawḍūʿ) dan BERAMAL dengannya TANPA menerangkan kelemahannya dalam perkara-perkara SELAIN dari sifat-sifat Allah سبحانه وتعالى dan hukum-hakam seperti halal dan haram dan seumpamanya.

Dan itu adalah seperti [berkaitan] kisah-kisah [orang soleh dan terdahulu], kelebihan-kelebihan amalan, nasihat-nasihat dan lain-lain yang tidak berkaitan dengan aqidah dan hukum-hakam.”

[3]

Di dalam bahagian “Muqaddimat al-Majmūʿ” pula, al-Imām Shaykh al-Islām al-Nawawī (w.676H) menyebut (Jil. 1/20, hal. 59, cetakan Dār al-Fikr (1344H-1347H)):

فَأَمَّا الضَّعِيفُ فَلَا يَجُوزُ الِاحْتِجَاجُ بِهِ فِي الْأَحْكَامِ وَالْعَقَائِدِ وَتَجُوزُ رِوَايَتُهُ وَالْعَمَلُ بِهِ فِي غَيْرِ الْأَحْكَامِ كَالْقَصَصِ وَفَضَائِلِ الْأَعْمَالِ وَالتَّرْغِيبِ وَالتَّرْهِيبِ

“Maka adapun hadis yang ḍaʿīf itu, maka tidak harus berhujah dengannya di dalam perkara hukum-hakam dan aqidah.

Dan HARUS MERIWATKANNYA DAN BERAMAL DENGANNYA pada perkara-perkara selain dari hukum-hakam seperti kisah-kisah, dan kelebihan-kelebihan amalan, galakan membuat kebaikan (targhīb) dan ancaman melakukan kejahatan (tarhīb).”

[4]

Kemudian, ketika beliau membahaskan masalah berkenaan sutrah dengan menandakan garisan bagi orang yang bersolat, al-Imām Shaykh al-Islām al-Nawawī (w.676H) menyebut di dalam kitabnya al-Majmūʿ (Jil. 3/20, hal. 248, cetakan Dār al-Fikr (1344H-1347H)):

وقد قدمنا اتِّفَاقَ الْعُلَمَاءِ عَلَى الْعَمَلِ بِالْحَدِيثِ الضَّعِيفِ فِي فَضَائِلِ الْأَعْمَالِ دُونَ الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ وَهَذَا مِنْ نَحْوِ فَضَائِلِ الْأَعْمَالِ

“Dan sesungguhnya kami telah membentangkan kesepakatan para ulama’ bagi beramal dengan hadith ḍaʿīf di dalam kelebihan-kelebihan amalan tanpa termasuk perkara halal dan haram, dan ini [sutrah dengan tanda garisan] adalah termasuk di alam bab kelebihan-kelebihan amalan.”

PENUNTUT ILMU - Manhaj Ilmu Hadis







(Feed generated with FetchRSS)

source https://www.facebook.com/680496500528871/posts/976620167583168

0 Comment "Photos from Penuntut Ilmu's post"

Post a Comment

Thank you for your comments