TAHKIK DEFINISI HADIS

1. Hadis menurut ulama secara umum ialah: “Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan dan juga pengakuan baginda”.

2. Namun, definisi hadis menurut ulama ‘ulum al-hadith pada masa dahulu sebenarnya tidak seragam. Definisi yang paling hampir dengan definisi ulama mutakhir ialah seperti yang disebut oleh al-Hafiz as-Sakhawi (w. 902H) dalam Fath al-Mughith (1/10):
((الحديث: ما أضيف إلى النبي صلى الله عليه وسلم قولاً له، أو فعلاً، أو تقريراً، أو صفة، حتى الحركات والسكنات في اليقظة والمنام.))

3. Definisi itu sedikit berbeza dengan definisi as-Syarif al-Jurjani (w. 816H) dalam al-Mukhtasar fi Usul al-Hadith dan al-‘Allamah at-Tibi (w. 743H) dalam al-Khulasah fi Ma’rifah al-Hadith, sebagaimana yang juga dinukilkan oleh al-Hafiz as-Suyuti (w. 911H) dalam Tadrib ar-Rawi iaitu:
((الحديث: أعم من أن يكون قول الرسول صلى اللَّه عليه وسلم أو الصحابي أو التابعي، وفعلهم، وتقريرهم.))

4. Banyak definisi mutakhir juga mengambil kira apa yang disebut oleh Syeikh Ibn Taimiyyah (w. 728H) dalam Majmu’ al-Fatawa (18/10):
((فإنه -أي الحديث- إنما يطلب ما يستدل به على الدين، وذلك إنما يكون بقوله، أو فعله، أو إقراره، وقد يدخل فيها بعض أخباره قبل النبوة، وبعض سيرته قبل النبوة، مثل: تحنثه بغار حراء، ومثل: حسن سيرته.))

5. Berdasarkan definisi-definisi terdahulu tersebut, ramai ulama ‘ulum al-hadith mutakhir seperti Dr. Muhammad Abu Syahbah, Dr. Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Dr. Mahmud at-Tahhan, Dr. Nuruddin ‘Itr dan lain-lain telah membuat tahrir (penyelarasan) terhadap definisi hadis yang mampu menjadi sebuah definisi yang baik dan mantap.

6. Bagaimanapun, mungkin definisi yang lebih menyeluruh yang dapat kita selaras dan simpulkan daripada definisi-definisi terdahulu dan mutakhir itu adalah seperti berikut;
ما أضيف إلى النبي - صلى الله عليه وسلم - من قول، أو فعل، أو تقرير، أو صفة، أو سِيْرَةٍ، سواء أكان ذلك قبل النبوة أم بعدها، حتى الحركات والسكنات في اليقظة والمنام، وكذلك ما أضيف إلى الصحابي والتابعي من قول، أو فعل، أو تقرير.
 Maksudnya: “Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat atau sirah, sama ada ianya itu sebelum kebangkitannya atau pun selepasnya, sehingga termasuk perihal gerak geri dan duduk diam baginda di masa jaga dan juga tidurnya. Demikian juga sesuatu yang disandarkan kepada sahabat dan tabiin daripada perkataan, perbuatan atau pengakuan.”

7. Definisi gabungan seperti di atas ini sebenarnya tidak ditonjolkan oleh mana-mana kitab ‘ulum al-hadith mutakhir, sedangkan sumbernya tidak lari daripada definisi-definisi ulama terdahulu. Mungkin kerana perselisihan di kalangan mereka pada rangkap yang menyebut tentang ‘sirah’ dan juga rangkap yang menyandarkan kepada ‘sahabat dan tabiin’.

8. Dengan makluman, definisi mutakhir juga kebiasaannya ditambah perkataan ‘jasmani atau akhlak’ (خِلْقِيّة أو خُلُقِيّة) pada kalimah (صفة) bagi menunjukkan pembahagian yang lebih detail. Demikian antara asal usul definisi hadis yang patut kita ketahui kedudukannya. Kebanyakan definisi yang ada sekarang adalah merujuk kepada sumber-sumber rujukan seperti yang disebutkan. Pengertian hadis menurut ulama muhaddithin adalah sama dengan pengertian ‘sunnah’. على صاحبها الصلاة والسلام


Ditulis oleh Ustaz Dr.Khafidz Soroni (KUIS)

0 Comment "TAHKIK DEFINISI HADIS "

Post a Comment

Thank you for your comments